BANGSAR adalah kawasan perumahan dan bukan tempat untuk berhibur, kata penduduk di pinggir bandar Kuala Lumpur itu sambil menggesa penguatkuasaan perlu dijalankan dengan lebih ketat.
Mereka berdepan isu seperti tempat letak kereta haram di luar rumah mereka, pencemaran bunyi dan pergaduhan yang berlaku di sekitar kawasan kejiranan berhampiran pusat komersial yang menempatkan restoran dan pub popular.
Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M. Ali berkata aktiviti komersial dan persekitaran Bangsar perlu dikaji semula secara menyeluruh dan bukan secara berasingan, kerana ia melibatkan keselamatan penduduk.
“Kami bimbang, malah ada penduduk yang tidak mahu melawat kawasan Telawi terutama keluarga.
“Mereka bimbang tentang keselamatan selepas berita pergaduhan di kawasan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ali menjawab kebimbangan mengenai keselamatan Bangsar seperti ditonjolkan di media sosial, selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil melawat kawasan itu baru-baru ini berikutan video pertengkaran mulut antara pengunjung.

Dalam pada itu, lebih 100 orang ditangkap di tempat sesak berikutan kegagalan mematuhi penjarakan sosial.
“Kebingitan pub, pengunjung kelab malam muntah di jalanan. Kami juga melihat pergaduhan, malah kematian. Ruang yang sesak adalah ancaman kepada Covid-19. Ini mesti dihentikan,” tweet Fahmi.
Dalam tweet lain, Fahmi menjelaskan beberapa pergaduhan disebabkan pengaruh alkohol dan ini diakui pengusaha kedai.
Namun, ahli Parlimen PKR itu menambah “kebanyakannya (kedai) ok dan tiada masalah”, sambil menyatakan ia hanya dicetuskan segelintir pihak, tetapi seluruh kawasan itu tercemar.
Ali berkata pihak berkuasa perlu melakukan lebih banyak pemeriksaan bagi memastikan semua kelab malam mempunyai lesen berkaitan untuk beroperasi.
“Kami diberitahu beberapa kedai tidak mempunyai lesen. Malah, mengapa kedai itu mesti dibuka sehingga 2 pagi?
“Jika di bandar, tidak mengapa kerana terdapat hotel dan tarikan pelancong, tetapi ini adalah kawasan perumahan.”
Terdapat bit polis berdekatan kelab malam dan restoran akan tetapi Ali berkata ia tidak cukup berkesan.
“Pihak berkuasa harus bertindak dengan berkesan dan cekap. Pengurusan trafik juga mengerikan di sini dan perlu ada lebih banyak penguatkuasaan di kawasan itu.
“Kurang penguatkuasaan membawa kepada lebih banyak komplikasi.” – 11 April, 2022.
Komen