Tidak adil banding bicara Roger Ng dengan Najib, kata pakar perundangan


Raevathi Supramaniam

Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata adalah tidak adil untuk membandingkan perbicaraan jurubank Goldman Sachs, Roger Ng dengan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

PERBICARAAN dan sabitan terhadap bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng kerana rasuah berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selesai di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, kepantasan yang mengagumkan ini tidak boleh dibandingkan dengan perbicaraan rasuah Najib Razak di Malaysia kerana masing-masing mempunyai perbezaan, kata pakar perundangan.

Skala setiap kes adalah berbeza, manakala banyak rayuan interlokutori dalam perbicaraan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu adalah satu lagi sebab mengapa terdapat kelewatan walaupun perbicaraan bermula lebih dua tahun lalu.

Faktor lain termasuk wabak Covid-19 yang menyebabkan mahkamah tidak dapat meneruskan perbicaraan dan jangkitan dalam kalangan pihak pembelaan dan pendakwaan.

Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata adalah tidak adil untuk membandingkan perbicaraan Ng dengan Najib.

Perbicaraan Ng, katanya hanya melibatkan isu kecil berkaitan sistem kewangan AS dan bukannya keseluruhan dana.

“Di AS, mereka menuduh Ng melakukan jenayah terhadap sistem kewangan negara itu dengan menipu 1MDB dalam kapasitinya di Goldman Sachs,” kata peguam itu kepada The Malaysian Insight.

“Untuk menyokong itu, mereka mendapat bukti daripada Tim Leissner (bos Ng di Goldman Sachs), yang turut didakwa (dan mengaku bersalah).

“Kes Ng (hanya) melibatkan undang-undang kewangan AS.

“Mereka tidak bertanya tentang siapa yang memulakan syarikat itu, bagaimana ia dijalankan dan siapa pengarahnya. Penglibatan pihak lain semuanya tidak relevan.”

Dalam kes Najib, Haniff berkata bagi pendakwa raya untuk membuktikan kes mereka, sejarah 1MDB, siapa yang menciptanya, bagaimana ia dijalankan dan apakah penglibatan Najib, semuanya perlu dipastikan.

Haniff berkata Najib juga mempunyai perbicaraan lain dan tidak boleh menghadiri semuanya secara serentak.

“Beliau tidak boleh berada di mana-mana, setiap masa. Jika 1MDB adalah ‘1USADB’ dan terdapat pertuduhan terhadap, sebagai contoh Donald Trump, tempoh prosiding akan sama panjang atau mungkin lebih lama,” katanya.

Di Malaysia, apabila berlaku perbicaraan jenayah, defendan mesti hadir di mahkamah, tambah Haniff.

Perbicaraan 1MDB Najib bermula pada 28 Ogos 2019 dan masih diteruskan hari ini. Perbicaraan setakat ini menyaksikan 13 saksi dipanggil ke mahkamah. Pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 50 saksi untuk memberi keterangan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan wang berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan itu penuh dengan kelewatan berikutan sekatan pergerakan akibat pandemik dan jangkitan Covid-19 di kalangan pihak pembelaan dan pendakwaan.

Malah Najib perlu menghadiri Parlimen, di samping peguam bela mengambil masa yang sangat lama untuk menyoal saksi.

Sebagai contoh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi terpaksa menghabiskan hampir setahun di kandang saksi.

Ahli Parlimen Pekan itu sudah disabitkan kesalahan dalam satu lagi perbicaraan berkaitan 1MDB, melibatkan bekas anak syarikat firma kerajaan, SRC International Sdn Bhd. Perbicaraan ini bermula pada 4 April 2019 dan tamat di Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Dalam kes SRC, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas didapati bersalah oleh hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Najib sedang merayu sabitan dan hukuman.

Perbicaraan ini juga penuh dengan kelewatan, malah insiden yang pelik berlaku apabila peguam bela Najib, Shafee Abdullah digigit anjingnya.

Najib juga berdepan pertuduhan lain berhubung manipulasi laporan audit 1MDB dan pertuduhan lain berhubung SRC. – 11 April, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen