Pakatan putus sokongan pindaan Perkara 10 selepas bertemu PM malam ini


Menurut pelbagai sumber kepada The Malaysian Insight, gabungan itu tidak membuat keputusan sama ada ia akan menyokong cadangan pindaan kerajaan terhadap Perkara 10 (3) yang akan membenarkan Parlimen mengenakan sekatan ke atas hak terhadap wakil rakyat yang dipilih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2022.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) akan bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob malam ini sebelum memutuskan sokongannya terhadap pindaan perlembagaan kontroversi yang akan dibentangkan di Parlimen esok.

Menurut pelbagai sumber kepada The Malaysian Insight, gabungan itu tidak membuat keputusan sama ada ia akan menyokong cadangan pindaan kerajaan terhadap Perkara 10 (3) yang akan membenarkan Parlimen mengenakan sekatan ke atas hak terhadap wakil rakyat yang dipilih.

“Kami baru sahaja menerima rang undang-undang biru untuk pindaan perlembagaan selepas jam 4 petang hari ini dan masih terdapat beberapa kebimbangan,” kata salah seorang ahli Parlimen selepas PH mengadakan mesyuarat membincangkan pindaan itu hari ini.

Menurut sumber oleh hal demikian, beberapa pemimpin PH akan bertemu Ismail Sabri pada majlis berbuka puasa di Putrajaya untuk menjelaskan pindaan itu.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight, perkataan pindaan yang sedia ada adalah “terlalu terbuka”.

“Kami mahu ia menyatakan syarat-syarat di mana ahli Parlimen yang dipilih terikat dengan pindaan ini,” kata sumber itu.

“Ahli Parlimen PH hanya akan membuat keputusan selepas bertemu PM malam ini,” tambahnya.

Sekitar jam 4 petang hari ini, kerajaan menghantar rang undang-undang biru (versi muktamad pindaan perlembagaan) kepada ahli Parlimen.

Mengikut rang undang-undang itu, kerajaan akan meminda Perkara 10 dengan memasukkan Fasal 3a.

Fasal itu berbunyi: “Walau apa pun perenggan (c) Fasal (2) dan Fasal (3), sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.”.

Awal hari ini, badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mencadangkan artikel baharu perlu ditambah untuk mentakrifkan lompat parti, sambil menyatakan penyingkiran daripada parti bukan sebahagian daripada definisi ini. 

Pengkritik telah menyelar pindaan yang dicadangkan ini, sambil mendakwa ia memberi kerajaan terlalu banyak kuasa untuk mengawal parti politik, sementara gagal menangani secara khusus masalah lompat parti. – 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen