RUU anti lompat parti sasar dibentang pada sesi Parlimen Julai ini, kata Ismail Sabri


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tiada niat untuk melewatkan atau tidak bentangkan rang undang-undang itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2022.

RANG Undang-undang untuk melarang lompat parti akan disediakan menjelang Julai untuk dibentangkan di Parlimen, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Media melaporkan beliau berkata jawatankuasa khas akan ditugaskan untuk merangka rang undang-undang, dan jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil kerajaan, ahli pembangkang dan pakar dalam perkara itu.

Ismail Sabri berkata kerajaan tiada niat untuk melewatkan atau tidak bentangkan rang undang-undang itu.

Beliau berkata demikian di Putrajaya selepas memberi taklimat kepada ahli Parlimen kerajaan mengenai cadangan pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan esok pada sidang khas Parlimen.

Rang undang-undang itu, untuk meminda Perkara 10 untuk memperluaskan sekatan ke atas kebebasan berpersatuan kepada ahli parti politik, telah menimbulkan kontroversi sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana memberi kerajaan terlalu banyak kawalan ke atas ahli parti politik.

Ini kerana pindaan itu akan diundi oleh ahli Parlimen esok tanpa menentukan maksud lompat parti. Tanpa mentakrifkan keadaan mengapa seorang ahli Parlimen meninggalkan parti mereka, pengkritik pindaan itu bimbang ia boleh digunakan untuk menghukum ahli Parlimen yang dipecat daripada parti mereka.

Kerajaan bagaimanapun, berkata pindaan kepada Perkara 10 yang akan dibentangkan esok bertujuan untuk membuka jalan kepada rang undang-undang kendiri untuk menangani anti lompat, dan bahawa peruntukan perlembagaan mengenai kebebasan berpersatuan perlu dipinda terlebih dahulu.

Sebarang pindaan kepada perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen. – 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen