Subsidi haji wajar bersasar untuk B40, kata PBM


SUBSIDI kepada jemaah haji mesti dilaksanakan secara bersasar untuk mengurangkan kesan kewangan kepada Lembaga Tabung Haji, kata Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia Zakaria Abdul Hamid.

Katanya, subsidi berkenaan harus difokuskan kepada jemaah haji dari golongan berpendapatan rendah atau B40 dan mereka yang memerlukan.

“Jika seseorang jemaah itu adalah daripada golongan T20 atau M40 yang mampu untuk melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang bantuan daripada pihak kerajaan Malaysia, adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan wang mereka sendiri tanpa mendapat apa-apa subsidi daripada pihak kerajaan.

“Dengan mewujudkan kaedah subsidi bersasar ini, sudah tentu ia akan dapat mengurangkan impak yang ditanggung oleh pihak kerajaan Malaysia dan juga Lembaga Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria mengulas laporan kos menunaikan haji yang dijangka meningkat sehingga RM25,000 susulan kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Pertambahan kos sebanyak 12 peratus itu akan menyebabkan TH bakal menanggung subsidi sehingga lebih RM15,000 sekiranya kos menunaikan haji hendak dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang.

“Kami tidak menolak usaha murni kerajaan untuk memudahkan urusan para jemaah haji dengan pemberian subsidi ini, namun begitu, kami mencadangkan agar subsidi yang diberikan adalah secara bersasar,” katanya.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memberi jaminan kerajaan akan terus menanggung subsidi berkenaan namun kadarnya belum diputuskan.

Indonesia yang menampung sehingga separuh kos jemaahnya dilaporkan sedang meneliti untuk memotong subsidi sama.

Subsidi haji di Malaysia pernah jadi isu hangat pada awal 2019, semasa pentadbiran Pakatan Harapan, apabila menteri bertanggungjawab Dr Mujahid Yusof mengumumkan hasrat TH mengurangkan subsidi ekoran tekanan kewangan yang dihadapinya dari tahun ke tahun.

Mujahid dan PH bagaimanapun pada masa itu dikecam hebat biarpun menyuarakan realiti kewangan pengurusan haji yang semakin tertekan.

TH memberikan subsidi kepada jemaah haji sejak 2001, yang disifatkan oleh agensi itu sebagai “tanggungjawab sosial korporat” yang terbesar. Subsidi itu membolehkan kos menunaikan haji kekal bagi setiap seorang jemaah walaupun kos sebenar meningkat setiap tahun.

Jumlah subsidi yang diberikan pada 2013 sebanyak RM5,575 melibatkan jumlah keseluruhan RM93 juta meningkat kepada RM12,470 pada 2018 yang keseluruhannya berjumlah RM400 juta.

Selain subsidi kos menunaikan haji, agensi itu juga menanggung kos-kos operasi sokongan termasuk bimbingan haji, kebajikan dan perubatan.– 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen