DUTA Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu dan seorang pegawai kanan diplomatik dipanggil pulang ke Putrajaya kerana isu pengendalian sambutan lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu bulan lepas, lapor FMT hari ini.
Menurut laporan, Duta Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai Mohd Hasril Abdul Hamid “diarah pulang dan direhatkan” kerana tidak menyediakan sambutan sewajarnya ketika ketibaan Ismail Sabri.
FMT melaporkan Mohd Tarid dan Mohd Hasril adalah pegawai diplomatik kanan yang hadir di lapangan terbang untuk menyambut perdana menteri ketika beliau tiba di Dubai, tanpa kehadiran pegawai kanan tinggi UAE.
Ini adalah bertentangan dengan protokol untuk pegawai kanan negara tuan rumah untuk hadir menyambut ketibaan tetamu kehormat asing yang melawat.
“Tidak ada pegawai kanan kerajaan dari UAE yang menerima ketibaan mereka. Sambutan itu tidak sesuai dengan status seorang perdana menteri,” kata sumber dipetik FMT.
Laporan juga menyatakan tidak diketahui sama ada Ismail Sabri mengetahui tentang arahan memanggil balik diplomat itu.
Mohd Tarid dan Mohd Hasril dilaporkan dipanggil balik Kementerian Luar dan ditugaskan ke kumpulan penjawat awam di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya.
Laporan turut menyebut yang pegawai kanan Wisma Putra tidak gembira dengan layanan disediakan dua orang diplomat itu.
Satu lagi sumber juga dilaporkan sebagai berkata yang Mohd Tarid sudah memaklumkan kepada Wisma Putra tentang kekhuatiran kerajaan UAE tentang masa lawatan Ismail Sabri, tetapi makluman itu tidak diendahkan.
Kerajaan UAE ketika itu dalam persediaan menganjurkan Ekspo Dunia Dubai 2021, dengan ratusan tetamu kehormat seluruh dunia tiba setiap hari.
“Wisma Putra atau menteri luar sepatutnya menasihatkan perdana menteri untuk menjadualkan semula lawatan itu. Ini adalah kelemahan besar kerana melibatkan diplomasi dan reputasi kerajaan,” kata sumber dipetik laporan.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Wisma Putra untuk ulasan isu ini. – 10 April, 2022.
Komen