Pindaan Perkara 10 adalah ‘bunuh diri politik’ wakil rakyat, kata kumpulan peguam


Penggunaan perkataan yang kabur maksudnya dalam cadangan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan boleh disalahguna mana-mana kerajaan semasa, sekaligus menjejaskan demokrasi berparlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2022.

CADANGAN kerajaan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang akan dibentangkan esok perlu dibatalkan kerana ia adalah tindakan “bunuh diri politik” oleh ahli Parlimen jika ia diluluskan, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Kumpulan peguam itu berkata, sebaliknya undang-undang yang membolehkan pengundi menentukan tindakan ke atas wakil rakyat mereka yang melompat parti perlu dibentangkan, kata Ketua Penyelaras LFL Zaid Malik dalam satu kenyataan.

Cadangan pindaan Perkara 10 itu adalah untuk menambah klausa baharu, 3(A), untuk memperluaskan sekatan kebebasan berpersatuan kepada ahli parti politik, tetapi tidak memberi maksud tindakan lompat parti.

Bagaimanapun, cadangan pindaan itu dibuat bagi membolehkan penggubalan selanjutnya undang-undang anti lompat parti.

Bantahan LFL kepada cadangan pindaan Perkara 10 itu sama dengan bantahan banyak pihak yang melihatnya memberi terlalu banyak kuasa kepada kerajaan untuk mengawal parti politik, LFL juga berkata ia pindaan gagal menangani secara langsung isu lompat parti.

“(Sebaliknya) ia memperluaskan rujukan kepada keahlian parti ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri. Penggunaan perkataan yang kabur dalam cadangan pindaan membawa kepada salah guna yang boleh menjejaskan teruk demokrasi berparlimen.

“Jika usul itu diluluskan, mana-mana kerajaan semasa boleh dengan majoriti mudah, menggubal undang-undang yang menghilangkan kelayakan ahli Parlimen dengan sebarang isu teknikaliti atau asas, yang akan memberi kesan buruk kepada mana-mana pembangkang semasa yang terpaksa tunduk kepada majoriti,” kata Zaid.

Semalam, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Azalina Othman turut memberi amaran bahaya cadangan pindaan Perkara 10 itu. – 10 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen