Pemilik pangsapuri Kampong Bharu enggan pindah tanpa pampasan setimpal


Mohd Farhan Darwis

SEKUMPULAN penduduk di salah satu kampung di Kampong Bharu tetap enggan berpindah selagi tidak mendapat pampasan setimpal bagi unit rumah pangsa mereka yang bakal dimajukan.

Seramai 38 pemilik rumah pangsa di Kampung Sungai Baru itu menuntut pampasan lebih tinggi daripada tawaran RM250,000 dari pemaju yang sudah mengambil alih tanah berkenaan.

Penduduk flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu memberitahu The Malaysian Insight, tiada kediaman yang mampu dibeli dengan nilai itu di sekitar Kuala Lumpur.

Seorang pemilik, Hashim Mohd Salleh, 61, berkata walaupun dihimpit sebegitu rupa, beliau akan berjuang habis-habisan bagi mendapatkan pampasan setimpal sebelum dipaksa keluar.

“Bagi penduduk di flat ini ibarat nasi sudah jadi bubur tapi masih belum boleh dimakan… Kalau dah boleh dimakan kita dah lama keluar (berpindah).

“Tapi kalau keluar pun sebenarnya kami tak tahu nak ke mana, mencari (kediaman lain) tetapi tak dapat lagi,” kata peniaga kecil-kecilan itu ketika ditemui di kediamannya.

Rumahnya salah satu daripada 246 unit dalam lapan blok rumah pangsa yang didirikan di atas tanah berkeluasan 3.5 ekar menghadap menara berkembar Petronas.

Hashim dan isteri memiliki dua unit pangsapuri, masing-masing di blok E dan N. Rumah yang didiaminya di blok C bersama lima lagi anggota keluarga waktu ini disewa sejak 30 tahun lalu.

Kawasan itu terletak berhampiran dengan Jambatan Saloma, jambatan baharu yang dibina selepas kediaman mewah Legasi Kampong Bharu dibina bersebelahan stesen LRT.

“Kita akan pertahankan hak kita, kita akan lawan sampai check mate. Kalau bukan rezeki setakat itu sahajalah (saya terima) tapi saya akan berusaha macam mana pun.

“Saya punya hak pertahan perumahan yang saya duduki kerana kami ada geran, bukan setinggan,” tegas Hashim.

Hashim Mohd Salleh, 61, berkata beliau akan berjuang habis-habisan bagi mendapatkan pampasan setimpal sebelum dipaksa keluar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2022.

Nilai ditawarkan itu tiga kali ganda lebih rendah berbanding anggaran oleh penilai swasta lantikan mereka yang menganggarkan kadar RM1,500 sekaki persegi, atau RM600,000 seunit, katanya.

Selain blok kediaman flat, kawasan dengan baki pajakan sekitar 57 tahun lagi itu turut merangkumi kira-kira 98 unit rumah teres lagi di atas tanah berkeluasan 5.5 ekar.

Pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd memulakan tawaran sejak 2016 untuk membangunkan kawasan itu melalui kaedah usaha sama (JV) kepada penduduk.

Sejak tempoh itu hingga 2020, difahamkan pemaju sudah berjaya mendapatkan persetujuan daripada 226 pemilik unit flat dan 27 pemilik kediaman rumah teres di kawasan itu.

Cadangan pembangunan itu melibatkan penempatan semula semua penduduk flat dan teres dan di blok pangsapuri selain pembinaan unit komersial kondominium mewah beserta pejabat dan kedai.

Pemaju menilai pangsapuri yang bakal diterima oleh pemilik itu berkeluasan sekitar 900 hingga 1,200 kaki persegi bernilai antara RM850,000 hingga RM1.2 juta.

Hashim merupakan antara kira-kira 38 pemilik unit flat dan 71 pemilik teres yang enggan menerima perjanjian itu kerana pemaju didakwa gagal menyediakan dokumen untuk mengesahkan perkara itu.

Pemaju yang merupakan anak syarikat anak syarikat Suez Capital Sdn Bhd, kemudiannya memohon pengambilan tapak itu melalui Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960.

Permohonan pada 21 Jun lalu untuk membolehkan pemaju mengambil tanah penduduk dengan pampasan diberikan kepada mereka.

Penduduk unit pangsapuri yang menolak tawaran itu kini menerima dokumen dikenali sebagai Borang K bertarikh 29 Mac, yang menyatakan penduduk perlu mengosongkan unit mereka.

Namun begitu, penduduk terlibat runsing kerana tiada tempoh masa dinyatakan untuk mereka keluar.

Mahizan Yeop, 57, meluahkan kebimbangannya apabila mendengar desas-desus penduduk perlu mengosongkan unit dalam tempoh 21 hari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2022.

Mahizan Yeop, 57, juga antara kumpulan penduduk flat yang menolak cadangan pemaju selepas menerima pampasan berjumlah sekitar RM204,000.

Pesara kakitangan swasta itu menetap di flat berkenaan sejak 30 tahun bersama suami yang mewarisi unit itu dari orang tuanya.

Kini, beliau bimbang kerana mendengar desas-desus bahawa penduduk perlu mengosongkan unit dalam tempoh 21 hari.

“Borang K yang kami terima tidak nyatakan tempoh, selalunya pengosongan kediaman mesti ada tempoh waktu, ini tidak ada, dua tiga kali saya baca tiada tempoh masa.

“Tiba-tiba dengar cerita (kena keluar) dalam masa 21 hari. Tak logik. “Kalau saya umur 20an saya tak kisah, dengan usia sebegini kami hanya nak duduk rumah dan berehat.

“Tetapi kami bertahan sebab ada undang-undang, kalau undang-undang pun tak memihak kepada kami nak buat macam mana,” katanya.

Oleh sebab itu, beliau mengemukakan saman di mahkamah untuk mendapatkan pampasan setimpal yang boleh digunakan untuk membeli kediaman lain.

“Kami akan lawan ke mahkamah, kami bukan nak berjuta-juta ringgit. Kami nak pampasan itu setimpal untuk cari rumah lain. Dengan pampasan (diberikan) begitu macam mana nak beli rumah.

“Kawasan ini majoritinya orang yang tidak bekerja, mereka yang merancang untuk berpencen. Kita tiada rancangan nak beli rumah baharu. Kita nak rehat, kita tak fikir nak buat hutang baharu.”

Jelasnya, dengan harga rendah yang ditawarkan, mereka juga tidak mampu membeli rumah baharu kerana sudah tidak bekerja.

“Apabila berlaku macam ini, umur dah macam ini, nak ambil tanah kami apa kami boleh buat,” katanya.

Mahizan berkata, kes yang difailkannya akan bermula pada 14 April depan dan dijalankan secara atas talian.

“Saya nak berusaha walaupun (hanya berpeluang) 1% saya akan menang, saya tak kisah janji saya berusaha, saya nak selamatkan rumah saya.

“Rumah ini rumah pusaka, rumah atas nama bapa suami. Ini nilai pusaka. Kalau nak duduk mewah buat apa nak tunggu flat buruk ini tetapi (masih bertahan) kerana ini nilai rumah pusaka suami saya,” katanya.

Roziah Yusuf, 59, yang menghidap arthritis berkata mustahil untuknya mencari kediaman lain dengan kadar pampasan RM250,000 yang diterima. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2022.

Turut bersama Mahizan seorang lagi penduduk, Roziah Yusuf, 59, yang mengemukakan tuntutan di mahkamah.

Beliau yang bergantung hidup dengan bantuan Baitulmal berjumlah RM400 sebulan mewarisi rumah itu daripada ibunya, dan menetap bersama adiknya yang berniaga air secara kecil-kecilan.

“Nak dapatkan rumah ini dahulu arwah emak ambil upah basuh kain di rumah orang dengan kadar upah RM30 sebulan,” katanya yang menetap di kawasan Kampong Bharu sejak 54 tahun lalu.

Penghidap arthritis itu berkata, mustahil untuk beliau mencari kediaman lain dengan kadar pampasan yang diterima.

“Nak pindah jauh-jauh, tak mampu. Dulu kerja tapi berhenti dua tahun lepas jaga emak sakit. Sekarang sakit, pening, mana nak cari rumah, mana nak tinggal.

“Saya pun terpaksa juga cari duit untuk lawan di mahkamah,” katanya yang berjalan menggunakan tongkat.

Menurutnya, pemaju mendakwa akan memberi unit rumah di Kerinchi buat sementara dan diberikan unit di Kampung Sungai Baru apabila projek siap, namun tiada bukti hitam putih.

“Pemaju kata nak beri rumah tapi tiada bukti. Kalau berlaku apa-apa, kalau tiada hitam putih kita duduk bawah jambatan nanti.

“Bila kita minta hitam putih tiada daripada pihak pemaju yang boleh beri jaminan,” katanya.

“Lantaklah pembangunan mereka nak buat apa, kita tak kisah tapi buatlah dengan cara betul. Tidaklah kita minta berjuta-juta, tetapi kita hanya mahu ada tempat tinggal,” tambahnya. – 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen