Insiden hilang ketika menyelam: 3 warga asing selamat, seorang meninggal dunia


Dua anggota Maritim Malaysia ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat di perairan Mersing, Johor.– Gambar EPA, 9 April, 2022.

TIGA penyelam warga asing ditemukan selamat manakala seorang lagi meninggal dunia selepas empat hari dilaporkan hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol dekat Mersing.

Warga Norway Kristine Grodem, 35, yang juga jurulatih selam, ditemukan terapung sehari selepas kejadian manakala Adrian Peter Chesters, 46, warga Britain, dan Alexia Alexandra Molina, 18, warga Perancis, dijumpai awal pagi tadi sekitar perairan Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Op Carilamat ditamatkan pada 1.30 tengah hari tadi susulan penemuan tiga dari empat penyelam yang hilang.

Beliau bagaimanapun berkata Nathan Renze Chesters, 14, telah meninggal dunia berdasarkan kenyataan Adrian Peter mengenai status anak lelakinya itu akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

“Pihak Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari mangsa terakhir yang dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat sepanjang Op Carilamat berlangsung.

Sebanyak 18 bot pelbagai agensi termasuk dua daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar selain dua pesawat dan dua helikopter digerakkan sepanjang operasi itu.

Lebih 90 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat dalam pencarian itu antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, keadaan Adrian Peter dan Alexia yang dirawat di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang dilaporkan stabil.

Turut menziarahi mereka ialah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat.

“Alhamdulillah, dua mangsa lagi ditemukan selamat awal pagi tadi. Seorang mangsa yang ditemukan sebelum ini juga semakin pulih di Hospital Mersing.

“Doktor sedang melakukan yang terbaik untuk mereka. Kita harap mereka akan cepat sembuh dan kita akan terus melakukan yang terbaik serta mendoakan agar mangsa terakhir dijumpai dalam keadaan yang baik tidak lama lagi,” kata Onn Hafiz kepada pemberita di Mersing.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan menampung kos rawatan ketiga-tiga penyelam.

Sementara itu, tekong bot yang membawa penyelam terbabit telah ditahan pada Rabu malam susulan positif dadah jenis metamfetamina. – Bernama, 9 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen