JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mendakwa Kementerian Pendidikan (KPM) tidak serius untuk memajukan pelajar berikutan pendedahan soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 diguna semula untuk calon SPM sesi ulangan.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata ibu bapa mengadu yang calon SPM sesi ulangan ada kelebihan kerana maklumat soalan-soalan itu sudah tersebar kepada umum.
“Jika sebelum-sebelum ini, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan menyediakan soalan lain untuk digunakan jika berlaku perubahan secara ad-hoc kepada calon SPM yang tidak boleh mendudukinya seperti jadual biasa, mengapa kaedah yang sama tidak diguna pakai tahun ini?
“Beberapa nilai yang perlu diberikan perhatian oleh LPM dan KPM bagi mengelakkan situasi ini berlaku lagi, antaranya LPM harus bersedia menyediakan soalan yang mencukupi pelbagai edisi memandangkan situasi semasa menyebabkan ada calon yang perlu menduduki SPM sesi ulangan,” kata jawatankuasa itu.
Tambah jawatankuasa itu, LPM dan KPM perlu beri jaminan kepada umum supaya soalan sama pada sesi sebelumnya tidak bocor dan masih kekal sulit buat calon SPM ulangan.
“(Kami) menganggap KPM khususnya menteri kanan pendidikan gagal mengambil perhatian secara serius proses pendidikan era pandemik ini yang pastinya mempengaruhi nasib anak-anak kelak.”
Antara calon SPM yang layak mengambil peperiksaan itu dari 1 April hingga 19 Mei termasuk pelajar yang telah disahkan positif Covid-19 dan diletakkan di bawah kuarantin, serta pelajar yang terjejas akibat banjir atau kes khas lain yang diluluskan.
Mereka pada asalnya dijadualkan menduduki peperiksaan dari 2 Februari hingga 29 Mac.
Jawatankuasa pendidikan PH itu merangkumi ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, ahli Parlimen Tampin Hasan Bahrom, ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai and ahli Parlimen Batu Gajah N Sivakumar.
Timbalan Menteri Pendidikan I Dr Mah Hang Soon berkata KPM akan meneliti laporan daripada LPM, sebelum sebarang tindakan diambil susulan dakwaan penggunaan set soalan SPM 2021 yang sama, untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula pada Khamis.
Mah berkata mana-mana pihak yang berkaitan juga diharap tidak melakukan sebarang spekulasi bagi memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya sendiri pun baru terima maklumat tersebut, dan saya fikir apa pun (andaian) kita perlu tunggu laporan daripada lembaga peperiksaan. Selepas itu kita akan buat perbincangan sebelum tindakan susulan yang berpatutan diambil,” katanya. – 9 April, 2022.
Komen