Berapa kos haji perlu jemaah tanggung, tanya Salahuddin


Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa kepada pihak Lembaga Tabung Haji melalui kerajaan untuk segera menyatakan berapakah kadar subsidi yang boleh diperuntukkan untuk jemaah haji pada tahun ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) perlu menjelaskan kadar subsidi untuk jemaah haji tahun ini selepas kos mengerjakan haji meningkat kepada RM25,000, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Khamis lalu, TH mengumumkan kos menunaikan haji tahun ini naik 12 peratus berbanding RM22,900 pada 2019. Ia mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus serta beberapa caj perkhidmatan tambahan lain susulan langkah pencegahan Covid-19.

Sejak 13 tahun lalu, TH menanggung subsidi kos haji sehingga boleh mengekalkan kadar bayaran seseorang jemaah setakat RM9,980 biarpun kos sebenar meningkat setiap tahun.

“Adakah kadar bayaran sebanyak RM9,980 ini dikekalkan pada tahun ini seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

“Oleh itu, saya menggesa kepada pihak Lembaga Tabung Haji melalui kerajaan untuk segera menyatakan berapakah kadar subsidi yang boleh diperuntukkan untuk jemaah haji pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memberi jaminan kerajaan akan terus menanggung subsidi berkenaan namun kadarnya belum diputuskan.

“Subsidi akan kita bagi, insya-Allah. Berapa kita bagi nanti kita akan maklum saya tak boleh umum lagi, benda itu masih embargo,” katanya, seperti dipetik media pada Jumaat.

Kuota

Sementara itu, Salahuddin turut meminta TH menjelaskan kuota jemaah yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi, yang dimaklumkan kepada Malaysia sebelum Ramadan.

“Saya juga mencadangkan agar kerajaan mengutamakan jemaah haji yang belum pernah menunaikan haji bagi memenuhi kuota yang diperuntukkan,” katanya.

Semalam, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan ibadah haji tahun ini dibuka kepada sejuta jemaah dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun ia terhad kepada mereka yang berumur tidak lebih 65 tahun dan sudah lengkap disuntik vaksin Covid-19.

Tahun lalu, Arab Saudi membenarkan hanya 60,000 jemaah dalam negara termasuk warga asing yang bermastautin di sana, lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya akibat penularan Covid-19.– 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen