GPS sokong RUU antilompat parti


Desmond Davidson

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak Fadillah Yusof berkata semua 18 ahli Parlimen gabungan itu akan menyokong RUU antilompat parti apabila ia dibentangkan di Parlimen kelak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

AHLI-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti apabila ia dibentangkan kelak, kata ketua whipnya Fadillah Yusof.

Beliau yang juga menteri kerja raya memberitahu The Malaysian Insight, semua 18 ahli Parlimen gabungan itu akan sebulat suara.

GPS diwakili 13 ahli Parlimen dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dua masing-masing dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan seorang dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

RUU antilompat parti sepatutnya dibentang dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan tetapi ditangguhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu berkata penangguhan itu dibuat bagi memperkemaskan definisi “lompat parti” yang memerlukan kajian lanjut.

Wan Junaidi dalam kenyataan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Saifuddin Nasution Ismail kelmarin berkata RUU antilompat parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, dalam satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

Sidang khas pada Isnin ini akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU antilompat parti dibentangkan. – 9 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen