99% kes baharu Covid-19 kategori 1 dan 2, kata KP kesihatan


Selangor mencatat peratusan pengisian melebihi 50% bagi penggunaan katil ICU setakat semalam, iaitu 56%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

SEBANYAK 14,878 atau 99.56% daripada 14,944 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam adalah kategori satu dan dua, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini beliau memaklumkan, baki 66 kes atau 0.44% pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, dan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,307,529 kes.

“Daripada 66 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, 11 kes membabitkan mereka yang tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 35 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 20 kes menerima dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata pada 8 April (semalam), kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 507 kes dan daripada jumlah itu, 211 kes (41.6%) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 296 kes (58.4%) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Sementara itu 14,045 kes sembuh dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh 4,113,831.

Penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 pula, Noor Hisham berkata hanya Selangor mencatat peratusan pengisian melebihi 50% bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat semalam, iaitu 56%.

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri yang mencatat peratusan pengisian melebihi 50%.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pada Jumaat adalah 0.84, dengan Selangor kekal merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.96 dan Kelantan mencatat kadar paling rendah dengan 0.65. – Bernama, 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen