Sistem elak lompat kerja langgar undang-undang, kata persatuan


Ravin Palanisamy

Persekutuan Majikan Malaysia tidak setuju dengan cadangan Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia supaya satu sistem bagi menghalang pekerja kerap melompat kerja diperkenalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2022.

CADANGAN supaya Putrajaya memperkenalkan satu sistem bagi menghalang pekerja kerap melompat kerja bercanggah dengan undang-undang, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata, selain melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 sistem yang dicadangkan itu juga bertentangan dengan peruntukan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“PDPA melindungi data peribadi individu dengan mensyaratkan pengguna data mesti mematuhi kewajipan dan memberi hak kepada subjek data berkait data peribadi.

“Cadangan tersebut juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 2 Konvensyen 87 ILO mengenai Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak untuk Berorganisai 1948, yang menyebut bahawa: ‘Para pekerja dan pengusaha, tanpa sebarang perbezaan, berhak untuk mendirikan dan, menurut aturan organisasi masing-masing, bergabung dengan organisasi-organisasi lain atas pilihan mereka sendiri tanpa pengaruh pihak lain’,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Syed Hussain mengulas cadangan Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) bulan lepas, yang mencadangkan supaya Putrajaya melaksanakan satu sistem bagi mengelakkan pekerja melompat kerja.

Pengerusi FMBA Abdul Malik Abdullah berkata, kerajaan perlu menghasilkan sistem rekod seperti CTOS Data Systems Sdn Bhd atau Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang menilai skor kredit dan kemampuan kewangan individu berdasarkan sejarah pembayaran mereka.

Abdul Malik pada satu sidang media berkata sistem tersebut akan menghalang pekerja dengan mudahnya berhenti kerja, selain menghalang majikan daripada menggaji mereka kerap melompat kerja. 

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata rekod prestasi pekerja perlu dirahsiakan syarikat, bukan untuk dikongsikan.

Katanya, pemantauan dilakukan supaya pekerja yang mempamerkan prestasi memberangsangkan diberi ganjaran yang sewajarnya, dan untuk membimbing mereka yang tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan mencapai piawaian syarikat.

Cipta dasar untuk kekalkan pekerja

Menolak cadangan FMBA itu, Syed Hussain berkata daripada memperkenalkan sistem yang serupa dengan CCRIS atau CTOS, adalah lebih baik jika satu dasar yang boleh mengekalkan pekerja dilaksanakan.

Menurutnya, syarikat perlu mendengar suara pekerja dan memberi mereka keistimewaan tertentu supaya majikan dapat mengekalkan pekerja untuk jangka masa yang lama.

“Syarikat mungkin boleh menawarkan persekitaran kerja yang fleksibel. Sekarang, tempat kerja dan waktu kerja yang fleksibel serta bekerja dari rumah jadi keutamaan berbanding pampasan dan kemajuan kerjaya.

“Untuk mengekalkan pekerja selama lebih setahun, syarikat perlu memberi mereka peluang untuk menyelaraskan jadual apabila keadaan memerlukan,” katanya.

Syed Hussain juga berkata syarikat selain itu harus membenarkan pekerja menyumbang idea serta cadangan, yang akan membantu mereka berkembang secara profesional. – 12 April, 2022.     

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen