Lebih 77,000 kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksin Covid-19


Seramai 1,358,791 kanak-kanak atau 38.3% daripada populasi itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

SEBANYAK 77,834 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, seramai 1,358,791 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.3% daripada populasi itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,857,568 individu atau 91.8% melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,958,121 atau 95% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, seramai 15,908,442 individu dewasa atau 67.6% menerima suntikan dos penggalak, 22,956,433 atau 97.6% pula selesai menerima dua dos manakala 23,233,304 atau 98.8% mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 34,904 dos vaksin diberikan semalam merangkumi 20,260 dos kedua, 8,289 dos penggalak dan 6,355 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,138,021.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 31 kematian akibat Covid-19 di negara ini direkodkan semalam dengan Putrajaya mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu enam kes, diikuti Johor, Kedah dan Sarawak masing-masing empat kes, Pahang dan Perak masing-masing tiga kes.

Terdapat dua kes kematian masing-masing di Melaka dan Selangor, manakala satu kes direkodkan setiap satu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu. – Bernama, 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen