Penggiat seni puji langkah Selangor kecualikan kadar duti hiburan tahun ini 


Sekumpulan penggiat seni mengatakan bahawa walaupun pengecualian sementara ke atas duti hiburan untuk persembahan secara langsung dialu-alukan, namun ia hanya satu penangguhan ke tarikh lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

PENGGIAT seni menggesa kerajaan negeri Selangor mengadakan sesi pertemuan rasmi bagi membincangkan mengenai persembahan secara langsung di negeri itu.

Mereka berharap dapat mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dengan pihak berkuasa tempatan dan Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab.

“Kami menyeru agar kerajaan negeri mengadakan sesi pertemuan rasmi dengan segera bersama penggiat seni, exco berkaitan dan wakil majlis tempatan bagi mencari penyelesaian berhubung perkara ini.

“Jadi kami tidak perlu melalui ini sekali lagi pada Disember,” katanya.

Kumpulan itu mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari yang mengumumkan pengecualian selama setahun bagi kadar duti hiburan untuk bayaran masuk pertunjukan pentas bertiket bagi artis tempatan berkuat kuasa 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022. 

Beliau berkata pengecualian itu susulan pandangan dan maklum balas orang ramai terutamanya penggiat seni. 

“Pengecualian ini bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Amirudin berkata buat masa ini, cukai hiburan tidak akan dikenakan kepada buskers. Pengecualian itu juga akan dikenakan kepada persembahan secara langsung untuk tempoh yang sama.

Kumpulan itu berkata, walaupun pengumuman daripada menteri besar memberikan sedikit kelegaan, namun apa yang sebenarnya dilakukan adalah menangguhkan masalah itu ke satu tarikh lain.

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh pengumuman ini ialah memberitahu artis di Selangor bahawa mereka mempunyai lapan bulan lagi untuk memindahkan persembahan mereka ke Kuala Lumpur.”

Mereka juga berharap dengan pengecualian ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan segera mengikutnya dan mengetepikan yuran lesen bagi 2022.

“Ini jelas perkara yang betul untuk dilakukan kerana persembahan secara langsung telah diharamkan selama dua tahun, oleh itu pengecualian lesen sepatutnya selama dua tahun juga.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh novelis dan pemuzik Brian Gomez, pelawak tempatan Kavin Jay, penyanyi Azmyl Yunor, pemuzik Farez Jinnah, vokalis Darren Teh, ahli ReformARTsi June Tan dan pengasas Soundscape Mak Wai Hoo. – 8 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen