SIDANG Khas Parlimen Isnin ini akan melihat pengenalan pindaan Perlembagaan yang membolehkan undang-undang menentang lompat parti dikuatkuasakan di negara ini.
Mengikut rang undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang dicadangkan Putrajaya sedang berusaha meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan memperkenalkan Klausa 3 (A).
Klausa 3(A) yang dicadangkan akan membenarkan penggubalan undang-undang melarang wakil rakyat di Parlimen dan DUN daripada bertukar taat setia.
Salinan rang undang-undang itu yang dilihat oleh The Malaysian Insight diedarkan kepada ahli Parlimen semalam.
Rang undang-undang anti lompat parti itu pada mulanya dijadualkan dibentangkan pada 24 Mac tetapi kemudiannya ditangguhkan ke persidangan khas Parlimen pada Isnin ini.
Bagaimanapun semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan pindaan Perlembagaan akan dilakukan terlebih dahulu.
Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Kabinet menangguhkan pembentangan rang undang-undang anti lompat parti.
“Saya ahli Kabinet, kena akur dengan (keputusan) Kabinet, perasaan peribadi saya tak penting.
“Memang ‘frust’lah selepas kerja lapan bulan ada sedikit ‘hitch’ itu, memang terasa tetapi semua sudah terima hakikat Wan Junaidi sudah tidak berasa syok,” katanya.
Wan Junaidi berkata semua parti bersetuju mengadakan sidang khas Parlimen yang berasingan untuk membentang, membahaskan dan meluluskan rang undang-undang anti lompat parti yang dicadangkan.
Awal hari ini Majlis Pakatan Harapan (PH) menggesa menteri yang bertanggungjawab membentangkan pindaan Perlembagaan untuk menyatakan dengan jelas di Parlimen intipati rang undang-undang yang akan dibentangkan untuk diluluskan dalam sidang khas kedua.
“PH percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU antilompat parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan.
“Namun, syarat utama ialah draf RUU antilompat parti perlu disegerakan, dan perkara ini telah ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MOU yang telah bermesyuarat semalam,” katanya.
PH juga berkata mereka mahu tarikh sidang khas kedua ditetapkan dan diumumkan di Parlimen pada Isnin ini.
Perundangan untuk menghalang lompat parti dan menetapkan had penggal bagi perdana menteri adalah antara syarat perjanjian pembangkang dengan kerajaan sebagai pertukaran sokongan.
Perjanjian itu ditandatangani pada 14 September dan memberi tumpuan kepada enam bidang pembaharuan. – 8 April, 2022.
Komen