SEORANG pembantu pegawai di sebuah agensi direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000, sejak tahun 2020 sehingga 2021.
Perintah reman itu, yang berakhir Isnin ini, dikeluarkan Majistret Johor Bahru Melody Woon Sze Mun selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan tersebut.
Semalam, pembantu pegawai berusia berusia 32 tahun itu dilaporkan ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru, pada kira-kira 12.30 tengah hari, selepas hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 membabitkan pembocoran maklumat.
Menurut sumber, pada 2020 sehingga tahun lepas, lelaki berkenaan yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah agensi, telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – Bernama, 8 April, 2022.
Komen