Pakatan desak RUU antilompat parti dibentang, lulus segera


Pakatan Harapan menegaskan kelulusan Rang Undang-Undang antilompat parti antara syarat utama dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani dengan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti mesti dibentang dan diluluskan di Parlimen, antara syarat utama dalam Memoradum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani dengan kerajaan.

 “Amatlah jelas bahawa Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) untuk menyatakan komitmen bahawa RUU antilompat  parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia ditandatangi Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Majlis Presiden PH mengulas pengumuman Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam mengenai keputusan Kabinet menangguhkan RUU antilompat parti yang dijadual untuk dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Bagaimanapun sidang khas Dewan Rakyat akan tetap diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memastikan RUU tersebut tidak melanggar perlembagaan, katanya.

Majlis Presiden PH juga  menggesa menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan pada Isnin turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU antilompat parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam sidang khas kedua nanti.

“PH percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU antilompat  parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan.

“Namun, syarat utama ialah draf RUU antilompat parti perlu disegerakan, dan perkara ini telah  ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MOU yang telah bermesyuarat semalam,” katanya.

Tambahnya, pendirian itu telahpun disampaikan oleh Anwar kepada perdana menteri semalam.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan PH dimeterai pada 13 September tahun lalu. – 8 April, 2022.     


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen