Putrajaya perlu telus bentang RUU antilompat parti, kata Maria Chin


Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata Putrajaya tidak sepatutnya berselindung di sebalik alasan remeh berkenaan isu RUU antilompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

PUTRAJAYA sepatutnya berterus-terang dalam membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti dan tidak berselindung di sebalik alasan remeh, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata perlu ada kesungguhan politik lebih kuat untuk memastikan RUU itu diwartakan sebagai undang-undnag, dan ahli Parlimen diberikan peluang adil untuk membahaskan isu itu secara terperinci.

“Perlu ada kesungguhan politik untuk membolehkan RUU ini dibentangkan dan keazaman untuk memberi ahli Parlimen peluang yang adil membahaskan pindaan perlembagaan secara terperinci, kerana ia akan mengubah wajah politik Malaysia untuk tahun mendatang.

“Kerajaan semasa perlu ikhlas dan tidak berselindung di sebalik alasan remeh untuk membentangkan RUU itu.

“Melihat kepada keadaan sekarang, pindaan ini tidak akan berlaku sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, di mana PRU semakin hampir.”

Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata alasan penangguhan itu kerana perlu ada kajian lebih lanjut berkenaan definisi “lompat parti”.

Beliau berkata sidang khas Parlimen itu akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU itu nanti.

Beliau turut meluahkan kekecewaan berhubung keputusan Kabinet untuk menangguhkan pembentangan RUU itu bagi bacaan kedua, berkata lapan bulan masa diambil untuk RUU itu.

Maria mengakui keadaan yang berkaitan dengan RUU antilompat parti itu, iaitu termasuk memberi terlalu banyak kuasa kepada parti politik.

Sehubungan itu katanya, banyak yang perlu dibahaskan, menekankan beliau menyokong undang-undang itu walaupun ia ada kelemahan.

“Saya difahamkan RUU itu akan menghukum individu yang keluar parti dan mereka yang dipecat oleh parti. Ia akan dilihat sebagai memberi terlalu banyak kuasa kepada parti politik.” – 8 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen