SEBANYAK 11,994 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, berbanding 12,105 yang dilaporkan pada Rabu, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kini mencecah 4,292,585, menurut data KKM yang dimuat naik di laman web CovidNow.
Selangor mencatat angka tertinggi iaitu 6,419 kes semalam, diikuti Kuala Lumpur (1,094) dan Johor (625).
Semalam juga, sebanyak 36 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan, naik sedikit berbanding 32 pada Rabu, menjadikan jumlah kesuruhan setakat kini 35, 228.
Selangor catat angka kematian tertinggi iaitu sembilan kes, diikuti Sarawak dan Perak masing-masing lima kes, kemudian Pulau Pinang dan Johor masing-masing empat kes.
Manakala masing-masing dua kes di Terengganu dan Putrajaya, sementara Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Kuala Lumpur maisng-masing satu kes.
Tiada kematian Covid-19 dilaporkan di Kedah, Kelantan, Perlis dan Labuan.
Menurut data KKM juga, kes aktif Covid-19 mencecah 157,571 setakat malam tadi, dengan seramai 3,174 individu dimasukkan ke hospital. Ini termasuk 197 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 108 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – Bernama, 8 April, 2022.
Komen