DAP berdepan cabaran sukar dalam mempertahankan semua 42 kerusi Parlimen dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Anthony Loke.
Walaupun penuh harapan, setiausaha agung DAP yang baru dilantik itu mengakui parti itu berdepan bahaya kehilangan beberapa kerusi berdasarkan kepada corak mengundi yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.
Loke bagaimanapun berkata mereka tidak akan berputus asa dan menyerahkan kerusi tanpa terlebih dulu berlawan mempertahankannya.
“Misi saya sebagai pemimpin baharu parti ini ialah untuk mengekalkan dan mempertahankan setiap kerusi yang dimenangi pada PRU lalu dan berharap kita akan dapat menawan lebih banyak lagi, tetapi paling tidak pun, kekalkan semua kerusi yang diperoleh sebelum ini.
“Sudah tentu ini tugas berat (pertahankan semua kerusi). Kami tahu ada kerusi tertentu agak sukar tetapi kami akan beri yang terbaik dan bersiap sedia sebaiknya untuk mempertahankan kerusi itu,” katanya yang juga ahli Parlimen Seremban kepada The Malaysian Insight.
DAP sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), menang 42 kerusi Parlimen pada PRU14, dan menjadi kerajaan persekutuan selama 22 bulan.
Kerajan PH runtuh susulan Bersatu keluar gabungan itu dan beberapa ahli Parlimen PKR keluar parti, dalam satu episod dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.
Bulan lalu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata parti itu menjangkakan hilang lima kerusi Parlimen daripada 42 kerusi sedia ada sekarang, jika dilihat kepada corak mengundi di Johor.
Pada PRN Johor, Umno/Barisan Nasional menang majoriti besar, jauh meninggalkan parti lain.
Merujuk kepada kenyataan Lim, Loke berkata DAP sedar lima kerusi berkenaan dalam keadaan bahaya pada PRU15, tetapi andaian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kepada corak mengundi dalam satu PRN.
“Saya sangat berhati-hati tetapi pada masa sama realistik yang kita tidak boleh buat andaian berdasarkan kepada corak mengundi di satu negeri.
“Kami, parti, tahu ada sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen dalam bahaya dan mungkin kalah,” katanya.
.jpg)
Loke tidak menyebut kerusi mana yang mungkin bakal gagal dipertahankan.
“Kerusi ini kami menang dengan majoriti nipis pada PRU lalu. Kerusi yang kami tahu demografiknya separa luar bandar dengan peratusan pengundi Melayu yang besar, pasti agak sukar untuk kami, begitu juga kerusi yang kali pertama kami menangi pada PRU lalu,” katanya.
Berdasarkan kepada penjelasan Loke itu dan bandingan dengan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lima kerusi Parlimen yang mungkin dibimbangi itu ialah Raub dan Bentong (Pahang), Labis (Johor), Tenom (Sabah) dan Mas Gading (Sarawak).
Empat daripanya iaitu Bentong, Labis, Tenom dam Mas Gading, sebelum ini kubu kuat BN.
Kerusi ini dimenangi kali pertama oleh pembangkang pada PRU14 dengan majoriti kecil, tidak sampai 4,000 undi di setiap kawasan.
Raub di Pahang adalah kubu kuat BN hinggalah 2013, ketika ia dimenangi DAP.
Pada 2018, calon DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,159, menewaskan calon BN, Chew Mei Fun.
Loke berkata parti akan mengadakan permukiman kebangsaan dalam kalangan ahli Parlimen dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat pada minggu depan bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya dan kerusi yang goyah. – 8 April, 2022.
Komen