PENSIJILAN Sirim untuk topeng bukan perubatan hanya akan dikuatkuasakan mulai Januari 2023, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi hari ini.
Ini membatalkan keputusan awal kementerian untuk pensijilan Sirim berkuat kuasa pada 4 Julai.
“Kerajaan akan menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) pelitup muka bukan perubatan ke 1 Januari, 2023,” kata Nanta pada sidang media.
Keputusan untuk menangguhkan penguatkuasaan itu dibuat berikutan maklum balas daripada orang ramai, katanya.
Selasa lalui, kementerian itu berkata bahawa pengilang dan pengimport topeng bukan perubatan mesti mendapat kelulusan Sirim selewat-lewatnya pada 4 Julai.
Keputusan itu dibuat berikutan pewartaan Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) pelitup muka bukan perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Kementerian berkata langkah itu bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan, sama ada keluaran tempatan atau import, mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Nanta juga menjelaskan hari ini bahawa kementerian tidak akan mendenda individu yang memakai pelitup bukan perubatan tanpa pensijilan Sirim.
Kementerian sebelum ini mengumumkan syarikat yang gagal mematuhi akan berdepan denda sehingga RM200,000, manakala individu (pengilang atau pengimport pelitup muka bukan perubatan) akan didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan.
Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai yang menyangka kementerian akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana gagal mematuhinya. – 7 April, 2022.
Komen