PUTRAJAYA perlu mengambil alih konsesi tol empat lebuh raya di Lembah Klang, bukan memberikannya kepada Amanah Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), kata Khalid Abdul Samad.
Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu dalam satu kenyataan berkata ia bagi mengurangkan kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan kronisme.
Jika ALR menerima konsesi tol itu, tidak ada jaminan syarikat itu tidak memberikan kontrak kepada syarikat kroni dan mengaut keuntungan, katanya.
Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof awal minggu ini mengumumkan sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan, akan mengambil alih konsesi empat lebuh raya.
ALR menawarkan untuk membeli semua empat syarikat lebuh raya itu, katanya.
“Frasa ‘tidak berasaskan keuntungan’ boleh mengelirukan kerana kos operasi boleh berlebihan dan meningkat, menghasilkan keuntungan bersih sifar,” kata Khalid.
“Apa yang akan mencegah ALR memberikan konsesi dan projek menarik kepada syarikat kroninya untuk melakukan kerja itu?”
Khalid berkata lebih baik jika kerajaan mengambil alih konsesi tol sementara bayaran tol masih dikutip, bagi memastikan lebuh raya diselenggara dengan baik dan tiada “kejutan” pada penghujung tempoh konsesi.
Mengendalikan dan menyelenggara lebuh raya juga akan memberi kerajaan lebih pemahaman tentang keperluan penyelenggaraan. – 7 April, 2022.
Komen