Syarikat luar pesisir diguna semula dapatkan balik wang 1MDB, kata laporan


Syarikat luar pesisir dikaitkan dengan 1MDB yang digunakan untuk seleweng dana syarikat itu digunakan semula untuk menjejak dan mendapatkan semula wang curi berkenaan. – Gambar fail EPA, 7 April, 2022.

SYARIKAT luar pesisir dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang digunakan untuk menyeleweng dana daripada syarikat pelaburan negara itu digunakan semula untuk mengesan dan mendapatkan semula wang curi berkenaan, lapor Bloomberg.

Tiga daripada syarikat itu, berpangkalan di Kepulauan British Virgin, dipantau oleh pentadbir yang dilantik kerajaan Malaysia, menurut laporan itu.

Tiga entity berkenaan memfailkan kebankrapan di Florida awal minggu ini, menyatakan matlamat mereka sekarang ialah mendapatkan semula sebahagian daripada AS$8.5 (RM35.9) billion yang dikatakan dicuri daripada 1MDB, di mana ia mungkin berada di AS.

Undang-undang kebankrapan tertentu yang digunakan dalam fail itu akan dapat membantu pentadbir entiti berkenaan memperoleh maklumat daripada pihak terbabit dalam urus niaga penipuan serta merampas aset jika ia dapat dikesan.

Menerusi makluman mereka, entiti itu menyatakan mereka sebahagian daripada penipuan yang berlaku terhadap 1MDB.

Ada antara mereka mungkin diwujudkan untuk menerima wang yang dicuri itu atau memindahkannya kepada entiti lain, lapor Bloomberg yang memetik dokumen itu.

Antara pihak di AS di mana aliran wang 1MDB mungkin berlaku ialah pengurus pelaburan, pengurus dana dan entiti lain yang menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang terbabit dalam penipuan itu.

Sementara itu, mahkamah di AS sedang mengendalikan perbicaraan membabitkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, seorang rakyat Malaysia, Roger Ng berhubung pendakwaan melakukan konspirasi dengan bekas ketuanya Tim Leissner, yang mengaku bersalah dan ahli perniagaan Malaysia kini dalam pelarian, Low Taek Jho, kerana menipu 1MDB. – 7 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen