Zahid tegur keputusan Putrajaya tangguh RUU anti lompat parti


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak bersungguh melaksanakan undang-undang anti lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2022.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menegur Putrajaya kerana menangguhkan pembentangan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti yang dicadangkan, berkata kerajaan tidak mempunyai kesungguhan dan keazaman politik untuk berbuat demikian.

Beliau berkata langkah kerajaan itu mengecewakan rakyat Malaysia yang menunggu undang-undang itu dilaksanakan segera.

Katanya, ini kerana mandat rakyat hilang apabila pemimpin yang mereka pilih bertukar parti.

“Umno ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti  apabila terdapat ahli Parlimennya yang melompat parti apabila Barisan Nasional (BN) tewas (Pilihan Raya Umum ke-14).

“Malah ada juga meskipun masih dalam BN ketika itu bernada musuh politik Umno dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti,” tulisnya di Facebook hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet menangguhkan RUU anti lompat parti yang akan dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April. 

Alasannya ialah definisi “lompat parti” memerlukan lebih banyak kajian.

“Ya, ia ditangguhkan,” kata menteri itu, sambil menambah yang sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan untuk memudahkan RUU anti lompat parti di kemudian hari.

Zahid berkata penangguhan itu juga merupakan tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan.

“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini.”

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sudah tiba masanya Umno (ahli Parlimen) dalam kerajaan lebih tegas dalam menangani isu ini sebelum ia menimbulkan kemarahan. – 7 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen