Lebih 250,000 pengembara keluar masuk sejak sempadan buka


Lima negara yang merekodkan jumlah pengembara tertinggi ialah Singapura (65,165), Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485), kata Jabatan Imigresen. – Gambar fail AFP, 7 April, 2022.

SEBANYAK 252,730 pengembara masuk dan keluar direkodkan di pintu-pintu masuk utama negara dalam tempoh empat hari sejak sempadan negara dibuka semula pada 1 April, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Daripada jumlah itu, sebanyak 126,392 ketibaan dan 28,301 berlepas melibatkan warganegara Malaysia, manakala 55,121 ketibaan dan 42,916 berlepas adalah pengembara asing, katanya.

Pintu masuk negara yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing tertinggi ialah di Bangunan Sultan Iskandar di Johor iaitu 160,818, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak 38,407, Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor (53,113), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) (11,712) dan Bukit Kayu Hitam, Kedah (6,980).

Lima negara yang merekodkan jumlah pengembara tertinggi ialah Singapura (65,165), Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485), katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas selari dengan perancangan negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

Mengenai pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa, Khairul Dzaimee berkata pihaknya mengeluarkan 12,923 naskah pasport dalam tempoh sama.

“Dijangka (pengeluaran pasport) akan terus meningkat berikutan orang awam memanfaatkan pembukaan sempadan bagi tujuan melancong ke luar negara dan mengerjakan ibadah umrah,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pembukaan semula sempadan negara menyaksikan peningkatan pergerakan keluar masuk pengembara asing ke negara ini sebanyak 76.4% manakala pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa meningkat 38.2%.

Beliau turut mengingatkan warga tempatan dan pengembara antarabangsa agar sentiasa mematuhi protokol am pengembara yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Kepada rakyat Malaysia, anda dinasihatkan supaya menyemak rekod senarai hitam dalam portal Jabatan Imigresen atau kiosk yang terdapat di KLIA,” katanya. – Bernama, 7 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen