Terus serang Najib, Muhyiddin tak untungkan Pejuang, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad perlu menekankan masalah-masalah utama yang membelenggu rakyat, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2022.

MASA depan Pejuang akan pudar dan terus dilupakan dalam arena politik jika mengulang-ulang naratif Najib Razak seorang kleptokrat manakala Muhyiddin Yassin orang yang sanggup menikam dari belakang untuk jadi perdana menteri.

Isu itu tidak lagi memberi sebarang impak, sebaliknya Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad perlu menekankan masalah-masalah utama yang membelenggu rakyat, kata mereka.

Menurut mereka, rakyat kini tidak termakan dengan isu yang dianggap sudah tidak penting berbanding isu seperti kenaikan harga barang sehingga menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Prof Awang Azman Awang Pawi berkata serangan demi serangan terhadap Najib dan Muhyiddin akhirnya menjadikan rakyat muak, malah akan menerbitkan simpati mereka terhadap dua pemimpin itu.

“Orang Melayu cenderung untuk mudah merasa simpati kepada individu yang tak habis-habis dikritik atau dicemuh. Taktik Dr Mahathir tidak mustahil akan memakan diri sendiri, dan akhirnya rakyat akan mula simpati kepada Najib dan Muhyiddin.

“Seolah-olah Dr Mahathir berdendam dengan mereka. Pejuang kena tumpu isu yang lebih penting,” kata Awang Azman.

Tambahnya, isu-isu rakyat ini pula hendaklah disuarakan oleh pemimpin-pemimpin muda dalam Pejuang supaya kelihatan lebih berketerampilan dan bukan sentiasa berada di belakang Dr Mahathir.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pula berkata Pejuang mempunyai peluang yang amat tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana sebahagian besar pengundi Melayu menyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Segmen pengundi Pejuang sama dengan Umno, Bersatu dan PAS. Pejuang hanya berupaya mendapat sebahagian kecil undi orang Melayu, yang mungkin mengundi Pakatan Harapan pada PRU14,” katanya.

Memberi contoh Pilihan Raya Negeri Johor yang berlangsung pada Mac lalu, Hisomuddin berkata Pejuang tewas kesemua 42 kerusi yang ditandinginya, dan ini secara langsung menunjukkan parti itu memerlukan strategi baharu.

“Malah Dr Mahathir sendiri mengaku kekalahan Pejuang di Johor adlaah kerana beliau mengungkit isu berkait Najib tetapi tidak menekankan isu-isu rakyat. Mesej antirasuah termasuk skandal Najib sahaja tidak cukup untuk tambat hati pengundi Melayu,” ujarnya. – 6 April, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen