Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB, Ipoh akan dinaik taraf, kata Khairy 


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB Ipoh tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menampung pesakit yang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak yang sesak bagi memberi keselesaan kepada pesakit.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata jabatan itu tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menampung pesakit yang ramai dan memerlukan kerja naik taraf segera.

“Jadi KKM akan menaik taraf dan memperluaskan Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital ini.

“Insya-Allah kalau kita dapat peruntukan untuk tahun depan, ini akan menjadi antara projek keutamaan untuk memastikan bahawa ia dapat diperbesarkan dan dinaik taraf supaya waktu menunggu di jabatan sebelum dihantar ke wad dan unit rawatan rapi dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke hospital berkenaan hari ini.

Katanya, KKM turut mempertimbangkan beberapa permintaan untuk menambah baik kemudahan di blok baharu hospital berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin dan Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming. – Bernama, 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen