KREDIBILITI Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan akan menjadi taruhan jika sidang khas Parlimen pada 11 April untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) tidak berlaku, kata setiausaha agung DAP yang baru dilantik Anthony Loke.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata Ismail Sabri perlu mengotakan janjinya dan memastikan persidangan khas itu berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Itu janji perdana menteri di Parlimen bahawa pada 11 April satu persidangan khas akan berlangsung.
“Jadi kredibiliti kerajaan dipertaruhkan. Jika mereka tidak meneruskan persidangan pada 11 April maka ia adalah satu tamparan kepada kredibiliti kerajaan dan juga perdana menteri,” kata Loke kepada The Malaysian Insight.
Loke mengulangi janji yang dikatakan Ismail Sabri semalam ketika perdana menteri bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkenaan cadangan rang undang-undang anti lompat parti.
Majlis Presiden PH semalam mengeluarkan kenyataan berkenaan pertemuan mereka dengan perdana menteri dengan Ismail Sabri memberi jaminan tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 sepertimana yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.
Pemimpin PH juga mengesahkan sokongan mereka terhadap rang undang-undang itu yang akan terdiri daripada pindaan Perlembagaan untuk melanjutkan sekatan kepada kebebasan berpersatuan termasuk parti poltik, untuk memasukkan perkara baharu untuk menetapkan syarat apabila kerusi ahli Parlimen dianggap kosong dan melanjutkan peruntukan ini kepada dewan undangan negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mengumumkan Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas pada 11 April supaya rang undang-undang anti lompat parti boleh dibentangkan.
Minggu lalu bagaimanapun beliau berkata ini belum dapat dipastikan kerana Kabinet perlu membuat keputusan pada sidang mingguannya Rabu ini jika kerajaan bersedia untuk mengeluarkan draf rang undang-undang itu.
Rang undang-undang itu yang akan menjadikan lompat dari satu parti ke parti lain menyalahi undang-undang dan yang secara automatik akan mencetuskan pilihan raya baharu sepatutnya dibentangkan bulan lepas semasa sidang Parlimen Mac lalu.
Menghentikan tindakan lompat parti secara umumnya dipersetujui oleh kebanyakan parti politik terutamanya selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan daripada kuasa Persekutuan selepas dipilih. Lompat parti juga menjejaskan Umno yang kehilangan 15 ahli Parlimen kepada Bersatu.
Bahagian yang dipertikaikan mengenai rang undang-undang anti lompat parti bagaimanapun adalah isu pemilihan semula. Terdapat pandangan pilihan raya kecil tidak sepatutnya diadakan secara automatik apabila ahli Parlimen yang dipilih bertukar parti tetapi pengundi kawasan itu harus memutuskan sama ada ia diperlukan. Ini kerana ahli Parlimen mungkin tidak melompat parti untuk kepentingan diri tetapi mungkin dipecat secara tidak adil atau berdasarkan emosi.
Bagaimanapun Loke berkata ahli Parlimen PH akan menyokong rang undang-undang itu dan berjanji ahli Parlimen DAP akan hadir sepenuhnya apabila rang undang-undang itu dibentangkan.
“Kita tidak boleh mendapatkan senario yang sempurna meliputi segala-galanya, setiap perincian tetapi syarat utama adalah pada setiap ahli Parlimen. Jika dipilih atas tiket parti mereka tidak boleh meninggalkan parti.
“Jika anda meninggalkan parti dan melompat ke parti lain, kerusi itu mesti dikosongkan.
“Selagi itu ada kami tidak mempunyai masalah untuk menyokong pindaan itu,” kata bekas menteri pengangkutan itu.
Rang undang-undang anti lompat parti itu juga merupakan klausa utama dalam Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kestabilan politik antara kerajaan dan PH. – 6 April, 2022.
Komen