Fahmi Fadzil akan selaras debat dengan Najib, kata Anwar


Anwar Ibrahim hari ini telah meminta Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyelaras serta memperincikan dengan pihak Najib Razak tarikh dan masa sesi debat tentang Sapura Energy Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2022.

FAHMI Fadzil akan berhubung dengan pembantu Najib Razak bagi mengatur sesi debat tentang masalah kewangan Sapura Energy Bhd, kata Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga akan membincangkan dengan pihak media mengenai liputan perdebatan tersebut.

“Saya telah meminta ahli Parlimen Lembah Pantai, saudara Fahmi Fadzil untuk menyelaras serta memperincikan dengan pihak Najib Razak berhubung tarikh dan masa sesi debat khas soal negara dan Sapura,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook hari ini.

Hantaran terbaharu ahli Parlimen Port Dickson itu dibuat selepas bekas perdana menteri umum bersedia untuk berdebat dengan Anwar mengenai masalah kewangan Sapura Energy Bhd.

Dalam catatan Facebook, beliau memberitahu ketua pembangkang itu supaya segera menghubungi pembantunya untuk menetapkan tempat dan masa, selepas Anwar bersetuju untuk berdebat mengenai perkara itu semalam.

“Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. Let’s rock!”

Sebelum itu, Najib menerima pelawaan Rafizi Ramli untuk debat mengenai Sapura, dan memberitahu naib presiden PKR itu untuk menjemput Anwar sama, yang mana ia diterima oleh pemimpin PKR pagi ini.

Sapura Energy, anak syarikat Kumpulan Sapura, kerugian RM8.9 bilion tahun lepas dan berada dalam kedudukan merah sejak 2019. Tiga anak syarikatnya juga dalam proses penggulungan pada awal Mac.

Berikutan cadangan asal Najib supaya kerajaan campur tangan dengan memberi pinjaman faedah rendah atau jaminan pinjaman kepada Sapura untuk menyelesaikan kebimbangan aliran tunainya, Rafizi dan Najib telah berselisih.

Putrajaya juga mungkin mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih pemilikan Sapura, menurut Najib, sambil menyatakan hakikat bahawa Petronas masih memerlukan perkhidmatan Sapura untuk projeknya dan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai sektor itu.

Bagaimanapun, Rafizi berkata ini hanya akan menguntungkan “segelintir golongan elit”, sambil menambah bahawa wang yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat minyak dan gas yang sakit itu boleh digunakan dengan lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia. – 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen