PM janji bentang RUU anti lompat parti 11 April, kata pemimpin Pakatan


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Madius Tangau ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini. – Gambar Facebook, 5 April, 2022.

PARLIMEN akan bersidang pada 11 April seperti yang dirancang bagi membahaskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam satu pertemuan bersama Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Dalam satu kenyataan Majlis Presiden PH memberi jaminan kepada Ismail bahawa mereka komited dengan rang undang-undang itu dan memberi jaminan Ismail Sabri akan menyokongnya.

“Perdana menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 sepertimana yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen Pakatan Harapan akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan Pindaan Perlembagaan ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan majlis presiden hari ini dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Madius Tangau. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar minggu lalu berkata sidang khas untuk membentangkan rang undang-undang itu bukanlah satu kepastian kerana ia tertakluk kepada kelulusan Kabinet.

“Saya perlu membentangkannya pada mesyuarat itu. Jadi pada masa itu, saya perlu meyakinkan setiap orang.

“Jika ada bantahan mana-mana anggota Kabinet, maka terpulang kepada perdana menteri untuk membuat keputusan muktamad,” katanya.

Wan Junaidi berkata, beliau tidak boleh bercakap untuk “setiap orang” (anggota Kabinet) pada tarikh itu.

Setakat ini, beliau sudah “menyediakan segala-galanya” untuk mengadakan pembentangan pada 11 April.

Rang undang-undang itu yang akan menjadikan lompat parti dari satu parti ke parti lain menyalahi undang-undang dan secara automatik mencetuskan pilihan raya baharu sepatutnya dibentangkan bulan lalu.

Rang undang-undang itu sangat dinanti-nantikan dan menjadi perhatian utama pembangkang.

Pengenalan rang undang-undang anti lompat parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) untuk kestabilan politik dan transformasi yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan.

MoU itu ditandatangani pada 14 September dan memfokuskan kepada enam pembaharuan.

Sementara itu majlis presiden juga mendedahkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut membangkitkan isu MySejahtera yang dimiliki sebuah syarikat negara asing.

Bagaimanapun majlis presiden PH tidak mendedahkan hasil perbincangan itu. – 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen