SEORANG lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan menyeludup seorang migran warga Myanmar di Padang Besar, kira-kira lapan tahun lepas.
Tertuduh, Suchat Tohdin, 34, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Mengikut pertuduhan, Suchat didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Mohd Belal Mohamad di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Kaki Bukit pada pukul 5.30 pagi antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwa Raya Negeri Perlis Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Baharudin Baharim.
Mahkamah menetapkan 21 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama, 5 April, 2022.
Komen