Pakatan tak akan menang PRU15 kalau tak bersatu, kata Loke


Ravin Palanisamy

Menuju PRU15, PH harus menonjolkan imej bahawa gabungan itu masih kukuh dan bersatu padu, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 April, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) akan bungkus pada pilihan raya umum akan datang jika semua pemimpinnya tidak bersatu untuk menawan hati pengundi, kata Anthony Loke.

Setiausaha agung DAP itu mengakui PH mempunyai banyak kelemahan, terutamanya tiada perpaduan, yang katanya jelas terlihat dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

“Tiada perpaduan, itu salah satu isu yang pasti. Yang paling utama ialah bagaimana untuk bersatu padu supaya PH sebagai satu gabungan kuat yang dapat menawan hati pengundi.

“Menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita mesti saling memahami dan menonjolkan imej bahawa PH masih kukuh dan kekal sebagai satu gabungan,” Loke memberitahu The Malaysian Insight.
 
PH kalah teruk dalam tiga PRN iaitu di Melaka, Sarawak, dan terbaru di Johor yang berlangsung pada 12 Mac lalu.

Meski kalah, prestasi DAP jauh lebih baik berbanding rakan komponen mereka PKR dan Amanah.

Kata Loke, dalam tiga PRN lepas PH gagal mempamerkan kesepaduan dan kekuatan kepada pengundi.

“Saya rasa sepanjang dua atau tiga tahun lalu ada beberapa keadaan PH gagal pamerkan imej (bersatu), tak macam dahulu.

“Pada 2013 dan 2018, PH sangat kreatif, bersatu padu dalam menyampaikan mesej kepada rakyat sehingga akhirnya kami menang dalam pilihan raya 2018.

“Malah pada 2013 kami mampu mengekalkan toleransi hasil daripada kerjasama kuat antara parti-parti komponen,” ujarnya.

Ditanya adakah keputusan PKR untuk menggunakan kogo sendiri pada PRN Sarawak dan Johor menandakan tiada kesefahaman dalam PH, Loke menepis dakwaan itu sebaliknya berkata ia hanyalah isu kecil.

“Logo tak jadi persoalan, tetapi adakah PH mampu mempamerkan bahawa kami mempunyai idea dan matlamat yang sama untuk tawan hati rakyat.”

Tambahnya, kejayaan tidak akan dicapai melainkan semua parti komponen saling berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing.

“Kalau kalau DAP saja yang menang tetapi rakan komponen lain kalah,” jelas Loke.

PH kalah teruk dalam tiga PRN iaitu di Melaka, Sarawak, dan terbaru di Johor yang berlangsung pada 12 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2022.

Pertemuan Anwar-Muhyiddin tak beri kesan

Menyentuh pertemuan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin Loke, yang juga ahli Parlimen Seremban berkata Seremban perkara itu tidak memberi kesan apa-apa kepada PH.

Bekas menteri pengangkutan itu menambah, pertemuan antara mana-mana pemimpin politik bukanlah pelik, namun beliau menekankan sebarang keputusan melibatkan PH mesti dibuat bersama rakan-rakan kompen.

Tegasnya lagi, tiada satu pun parti dalam gabungan itu yang boleh membuat keputusan sendiri. 

“Kita jangan terlalu curiga atau bimbang mengenai pertemuan itu kerana ia antara dua pemimpin yang berseteru.

“Apa yang mustahak dan prinsip yang dipegang dalam PH ialah apa-apa sahaja mesti di bawah pengetahuan Majlis Presiden dan sebarang keputusan mestilah berdasarkan kensensus.

“Tiada parti yang boleh buat keputusan sepihak. Inilah prinsip yang jadi pegangan PH,” jelas Loke.

Beliau dalam pada itu berkata DAP tetap berpendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu yang mengepalai Perikatan Nasional (PN).

“Pendirian parti jelas, walaupun ramai penganalisis politik menggesa supaya PH dan PN untuk menumbangkan Barisan Nasional. Keputusan kami tidak berubah untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. – 5 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen