PEREBUTAN jawatan timbalan presiden antara Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan PKR pada Mei ini dijangka akan mencetus ketegangan dan permainan politik kotor, kata pemerhati dan penganalisis politik.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, situasi serupa ketika persaingan antara Azmin Ali dan Rafizi bagi merebut jawatan nombor dua parti pada 2018 tidak mustahil akan berulang.
Oleh itu penting bagi Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil pendirian untuk tidak memihak kepada mana-mana calon yang bertanding, tambah mereka.
“Untuk kita katakan bahawa pemilihan parti akan berlangsung dengan aman dan tidak tegang tidak seperti pertembungan antara Azmin dan Rafizi sebelum ini pun tidak boleh juga. Walaupun sekarang antara Saifuddin dan Rafizi, tidak bermakna tidak akan ada drama.
“Ya, memang betul dulu Rafizi dalam kem Anwar. Tapi kalau kita lihat sekarang beliau berbeza, lebih berdikari dan matang,” kata pemerhati politik dan bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin.
Malah beliau turut menjangkakan Anwar akan memberi sokongan dalam diam kepada orang kanannya iaitu Saifuddin, yang kini setiausaha agung PKR.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard menjangkakan perebutan jawatan timbalan presiden PKR tidak hanya membabitkan Saifuddin dan Rafizi, tetapi juga Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
“Dan Saifuddin akan berperanan sebagai pemecah undi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh perebutan jawatan timbalan presiden antara Azmin, Khalid Ibrahim dan Saifuddin pada pemilihan PKR 2014.
Katanya, Khalid yang ketika itu menteri besar Selangor, mendapat sokongan besar akar umbi PKR.
“Apa yang berlaku ialah Anwar letak Saifuddin untuk pecahkan undi. Khalid ketika itu sangat popular, dan Anwar mahu Azmin jadi timbalannya.
“Ini sudah berlaku dulu. Saya jangka ia akan berulang kerana Rafizi sekarang ini adalah sosok yang popular dalam PKR dan Anwar mahu parti berada di bawah kawalannya,” kata Chegubard.
Beliau bagaimanapun berharap Anwar tidak akan memihak kepada mana-mana calon dan membiarkan semangat reformasi terus subur dalam PKR.
“Anwar perlu berubah dan tidak boleh gunakan parti untuk keuntungan diri sendiri. Beliau mesti menghayati semangat reformasi.
“Betul, kami pernah sokong beliau sebagai calon perdana menteri, tetapi tidaklah sampai perlu jadi pak turut,” tambahnya.
Chegubard dipecat dari PKR pada 2016 kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Mendakwa masih menjalinkan hubungan baik dengan ahli-ahli PKR, dan beliau berkata Rafizi mendapat sokongan akar umbi parti itu.
“Akar umbi mahukan Rafizi, pengaruhnya kuat. Bagaimana Anwar hendak sekat pengaruh Rafizi? Inilah yang kita perlu tunggu dan lihat,” ujarnya.
Rafizi tewas tipis kepada Azmin bagi merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR 2018. Azmin kemudian dipecat susulan ‘Langkah Sheraton’, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.
Azmin berpaling tadah bersama pemimpin lain PKR, termasuk Zuraida Kamaruddin dan Rina Harun yang menyertai Bersatu untuk membentuk kerajaan baharu bersama PN.
Jawatan timbalan presiden PKR tidak diisi mana-mana pemimpin sejak itu.

Rafizi juga tidak bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 kerana ketika itu berdepan sabitan kes berhubung pendedahannya mengenai dokumen bank melibatkan skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Mahkamah Tinggi Shah Alam bagaimanapun pada 15 November 2019 melepas dan membebaskan bekas ahli Parlimen Pandan itu daripada sabitan dan hukuman penjara 30 bulan.
Tidak lama selepas itu, pada Disember tahun sama beliau umum bersara daripada politik kerana mahu memberi tumpuan untuk menceburi bidang berkaitan teknologi terkini.
Sepanjang ketiadaan Rafizi, Farhash Wafa dan Saifuddin dikatakan telah mengukuhkan kedudukan masing-masing sebagai penyokong setia Anwar.
Namun pada 15 Mac lalu, Rafizi umum kembali semula ke gelanggang politik dan menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR yang akan berlangsung bulan depan.
Keputusan itu dibuat atas kesedaran berdasarkan perkembangan terbaharu politik negara dan menyifatkan amalan politik progresif pelbagai bangsa berada dalam bahaya sekiranya PKR dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar, katanya dalam satu kenyataan.
Anwar perlu berkecuali
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar bagaimanapun berkata ketegangan dalam PKR boleh diredakan jika Anwar mengambil sikap berkecuali.
“Ketegangan akan meningkat sekiranya Anwar memihak kepada mana-mana kem. Apabila calon mula menggunakan nama Anwar sebagai sokongan, maka keadaan akan jadi berbeza. Maka, Anwar mesti kekal berkecuali,” katanya. – 5 April, 2022.
Komen