Bertemu Azam Baki


Faisal Tehrani

Faisal Tehrani (kiri) mewawancara Azam Baki di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya baru-baru ini untuk jurnal Svara. – Gambar Faisal Tehrani, 5 April, 2022.

HUJUNG tahun lalu ketika kecoh dan geger isu melibatkan Azam Baki, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya diberi peluang untuk menembual beliau, bagi pihak Jurnal Svara.

Saya adalah editor tamu untuk jurnal tersebut bagi edisi kesembilan. Oleh kerana minat saya terhadap isu berkaitan rasuah dan korupsi, saya menjadikan tema tersebut untuk edisi terkini jurnal seni dan budaya tersohor itu.

Peluang bertemu Tan Sri Azam tentulah sesuatu yang tidak dapat dilepaskan. Tambahan pula ketika sesi wawancara itu, sudah mulai berputik macam-macam kisah mengenai beliau.

Saya kemudian difahamkan tiada media yang dapat menembusi kamar pejabat beliau ketika itu, dan hanya Svara diberi peluang keemasan ini.

Bermacam-macam persoalan bertingkah dan bersarang dalam benak fikir ini. Patutkah saya bertanyakan soalan kontroversi dan panas.

Apakah saya akan diladeni jika saya berani mendadak mengajukan pertanyaan menggila mengenai apa yang dinamai sebagai skandal saham beliau.

Atau adakah benar-benar ribut yang terbadai itu sesungguhnya benar, atau sekadar ciptaan untuk mengalihkan hal-ehwal yang jauh lebih mentsunami?

Tan Sri Azam mempunyai kekuatan yang tidak dikenali ramai. Sebagai bekas pengarah siasatan, kes besar melibatkan bekas pemimpin negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pernah terletak di bawah dagu beliau.

Beliau bertanggungjawab memperkenalkan kaedah siasatan yang dinamai Intelligence Based Investigation on High Profile Cases, di mana kes yang sukar disiasat dengan membuat deep analysis terlebih dulu sebelum penyiasatan lebih teliti dilancarkan. Kebanyakan “kes jerung” menggunakan kaedah ini.

Justeru, SPRM di bawah beliau menggerakkan kaedah undercover untuk menyelesaikan kes jenayah rasuah yang kompleks, katakan penggubahan wang haram.

Dalam menjelaskan perihal kaedah ini, Tan Sri Azam memberitahu saya yang kaedah ini berjaya menjerat pelaku rasuah dalam kalangan “orang besar”.

“Tangkapan tertentu melibatkan pegawai tinggi kanan kerajaan itu hampir semua adalah menggunakaan kaedah IBI on high profile. Kita dah mark mereka ini dan kita mulai buat perisikan atas mereka. Kalau tak betul, that’s it. Kita call off. Sebab dalam penyiasatan kes rasuah ini, yang penting ialah kita nak buat pengesahan, saya tak nak kalau katakan sekadar nak tohmah-tohmah orang lepas itu kita pergi siasat jadi orang itu dapat malu, pangkat tak naik, projek akan tergantung. Kita tak nak macam itu.”

Tidakkah mungkin kerana kes besar dan penandaan sebegini beliau menghimpun banyak musuh yang akan mencari dan mengintai peluang untuk menjatuhkan beliau secara busuk?

Dalam banyak keadaan masyarakat awam dapat dikatakan agak naif berkait hal rasuah ini. Tidak ramai mengerti SPRM tiada kuasa mendakwa, dan perlu bekerja dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengheret pesalah rasuah yang disiasat ke ruang penghakiman.

Justeru selalu kedengaran kata-kata yang SPRM melepaskan orang itu atau orang ini tanpa memahami had kuasa yang ada di bawah ketiak SPRM.

Azam misalnya menjelaskan kepada saya: “Kita yang bawa kepada peguam, Jabatan Peguam Negara untuk dinilai. Kalau dia rasa boleh dituduh, dia tuduh. Kerja kami bukan kata selesai – cuci tangan – tapi kerja kami bawa kepada dia untuk dibawa kepada pengadilan. Kalau dia tak setuju, tak luluslah.

“Sebab itu kalau kes dikatakan ditarik balik pun, ditarik balikkan, saya kena support juga peguam negara di sini. Bukan kes seratus peratus saya nak menyalahkan peguam negara dalam menarik satu kes ataupun tidak.

“Kalau jawatan peguam negara sekarang di bawah Tan Sri Idrus Harun ni, saya boleh puji dialah. Ada konsensus juga. Kerana dia maklumkan juga kepada saya tentang apa jua kes yang mana dia perlu ambil tindakan contohnya reduce charges ke ataupun dia DNAA, maksudnya Discharged Not Amounting To An Acquittal ke ataupun discharged terus ke. Dia maklumkan. Kalau kes yang kita tunjukkan kebanyakannya dia setuju untuk tuduh.”

Umum mengetahui Azam kurang disenangi ahli politik, hal ini sedikit sebanyak kerana kerimasan parti politik dengan usaha menggerakkan kekangan dan pemantauan terhadap pendanaan parti politik khusus berkait dengan pilihan raya dan kempennya.

Dalam hal ini, beliau menyerahkan kepada tekad ahli politik dan pimpinan negara untuk bersikap telus dalam hal pendanaan.

Kata Azam Baki, “Negara luar seperti contohnya di Indonesia, di UK, di US semua itu dah ada garis panduan tentang pembiayaan politik, dana politik. Terpulang pada merekalah, jadi antara yang mungkin saya boleh lontarkan di sini, berhubung dengan pembiayaan pada parti daripada pihak tertentu. Kerana kalau kita tak ada garis panduan yang jelas, ini yang banyak persepsi negatif mengatakan ini duit rasuah, ini tak boleh terima dan sebagainya.”

Salah satu keghairahan yang jelas ketika sembang saya dengan beliau ialah perihal Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang mana gagasan asal pelan ini tercetus semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di mana Pakatan Harapan memberikan penekanan kepada usaha untuk memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Setelah PRU14, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri Malaysia ke-7 pada 8 Jun, 2018 memutuskan satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini.

Maka terhasillah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sebagai dokumen utama kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah.

Pelan ini, ketika dikemukakan, akan menjadi pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu. Namun berlaku perubahan pentadbiran kerajaan yang meletakkan banyak kemusykilan kepada nasib NACP ini.

Terdapat banyak persoalan lain yang saya bincangkan dengan beliau. Bahkan perbualan kami mencakup pelbagai isu berkaitan rasuah dan korupsi, dan sedikit sebanyak menyentuh bahagian yang mungkin ingin diketahui masyarakat di luar sana.

Ada baiknya pembaca mengulit wawancara saya dengan Tan Sri Azam dalam Svara edisi terbaru ini. – 5 April, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen