CADANGAN Putrajaya untuk membenarkan pelarian bekerja merupakan satu langkah positif kerana ia akan menyokong dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kos untuk menampung pelarian akan diimbangi dengan sumbangan positif dan akan membawa kepada penciptaan pekerjaan yang lebih berasaskan intensif-kemahiran, seterusnya memberi manfaat dan membantu pekerja Malaysia berkemahiran tinggi,” kata jurucakap UNHCR Kuala Lumpur Yante Ismail kepada The Malaysian Insight.
Menurut UNHCR, sehingga akhir Februari 2022, terdapat kira-kira 181,800 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.
UNHCR berkata 86% pemohon suaka adalah dari Myanmar, manakala selebihnya kira-kira 25,990 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri dari peperangan dan penganiayaan, termasuk dari Pakistan, Yaman, Syria, Somalia, Afghanistan dan lain-lain.
Yante berkata 67% pelarian dan pencari suaka adalah lelaki, manakala selebihnya wanita.
“Terdapat kira-kira 45,670 kanak-kanak bawah umur 18 tahun.”
Pelarian dengan kad UNHCR hanya dibenarkan bekerja di sektor tidak formal untuk menyara diri mereka.
Pada 24 Mac, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata Putrajaya sedang mengusahakan garis panduan mengenai kemungkinan pelarian bekerja di Malaysia.
Beliau berkata kementerian sedang mengetuai jawatankuasa untuk mengkaji perkara tersebut dan mengenal pasti sektor yang sesuai buat pelarian bagi memastikan kebenaran bekerja mereka tidak akan menyebabkan persaingan dengan rakyat Malaysia.
“Pengurusan pelarian dan pencari suaka di negara ini kini tertakluk kepada Arahan 23 Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Arahan ini sedang ditambah baik dan ia akan dibentangkan pada mesyuarat MKN untuk kelulusan,” katanya.
Laporan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) baru-baru ini mencadangkan, sekiranya pelarian diberi hak untuk bekerja, mereka boleh menyumbang lebih RM3 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2024.
Ini, kata Ideas, adalah melalui perbelanjaan yang lebih tinggi, menyumbang RM50 juta dalam cukai setiap tahun menjelang 2024, dan membantu mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Meningkatkan sifat berdikari
Yante berkata pada masa ini pelarian tidak dapat mengakses kerja sah di negara ini.
“Akses kepada kerja sah akan mengubah kualiti dan perlindungan kehidupan pelarian dari segi meningkatkan sikap berdikari.
“Sikap berdikari yang lebih besar dalam kalangan komuniti pelarian akan membawa kepada kesihatan dan pendidikan yang lebih baik serta mengurangkan beban negara dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata menyediakan pekerjaan untuk pelarian akan mewujudkan asas yang lebih kukuh untuk memikirkan pilihan masa depan mereka.
Ini, katanya, termasuk pulang ke negara asal mereka dengan kemahiran yang boleh dipindah milik untuk memulakan kehidupan baharu mereka apabila mungkin.
“Ia adalah ‘menang-menang’ buat Malaysia, untuk kepentingan negara dan ekonominya, dan untuk pelarian yang tinggal di sini buat sementara waktu.
“Minat kami adalah untuk menyokong keperluan Malaysia sendiri sambil memastikan bahawa ini adalah sektor di mana pelarian dapat menyumbang, dan kami harap ia akan memanfaatkan kemahiran yang ditawarkan oleh pelarian.”
Tambah Yante sejak beberapa tahun kebelakangan ini, UNHCR telah mengadakan banyak perbincangan positif dengan kerajaan dalam menguruskan cabaran kompleks perlindungan pelarian di negara ini, termasuk mengenai perkara akses kepada kerja sah.
“Kami berharap untuk melihat cadangan garis panduan mengenai akses kepada kerja sah dan mengadakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam perkara ini.
“UNHCR bersedia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan Malaysia mengenai cadangan penting ini.”
Pencari suaka menurun sejak 2013
Menurut data yang diperoleh daripada pelarian di Malaysia, jumlah keseluruhan ketibaan baharu telah menurun dengan ketara sejak 2013.
“Pada 2013, bilangan pendatang baru memuncak dengan 28,434 pencari suaka yang baru tiba. Jumlah pada tahun-tahun kemudian telah menunjukkan penurunan,” kata Yante.
“Sepanjang tempoh sekatan pergerakan Covid-19 seluruh negara, pendaftaran diutamakan untuk pencari suaka yang sangat terdedah dan mereka yang menghadapi keperluan perlindungan.
“Dalam tempoh 2020-2021, purata 400 pencari suaka telah didaftarkan setiap bulan,” tambahnya.
Yante berkata pemohon suaka ini tidak semestinya pendatang baru tetapi telah berada di negara ini untuk beberapa lama atau mungkin mencerminkan perubahan dalam komposisi keluarga seperti kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai contoh.
Beliau berkata pada masa ini tiada peruntukan perundangan atau pentadbiran disediakan untuk menangani situasi pencari suaka atau pelarian di negara ini.
“UNHCR menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan penerimaan, pendaftaran, dokumentasi dan penentuan status pencari suaka dan pelarian.
“Sebagai sebahagian daripada program sokongan kemanusiaan kami untuk pelarian, UNHCR bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi termasuk agensi kerajaan, kumpulan masyarakat sivil, dan sektor swasta untuk memberikan bantuan kepada pelarian dalam pelbagai bidang.
“Ini termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, dan mata pencarian; dan untuk menyokong penyelesaian tahan lama untuk pelarian, termasuk penempatan semula ke negara ketiga.”
Beliau menambah bidang kerja utama termasuk mencegah penangkapan, penahanan, dan pengusiran pelarian.
Yante berkata mereka harapkan pelarian mendapat perlindungan di negara ini, mempunyai akses yang lebih besar kepada penjagaan kesihatan, mata pencarian dan peluang untuk penyelesaian jangka panjang untuk semua pelarian.
“Kami sedang dalam dialog yang membina dengan kerajaan Malaysia dalam hal ini.” – 5 April, 2022.
Komen