KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad berkenaan manifesto Pakatan Harapan (PH) “bukan kitab suci” merosakkan kredibiliti gabungan itu, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Bekas perdana menteri itu membuat kenyataan itu ketika mempertahankan kritikan yang PH gagal menunaikan janji pilihan rayanya.
Loke memberitahu The Malaysian Insight kritikan itu sudah tentu menjejaskan gabungan itu tetapi berikrar PH akan tetap mengotakan janji.
“Dr Mahathir kini bukan lagi dalam PH,” kata Loke.
“Sudah tentu perkara tertentu diperkatakan dan kerosakan berlaku daripada segi kredibiliti dan kesucian manifesto.
“Bukan mudah untuk membaiki kerosakan itu tetapi terpulang kepada kami untuk menunjukkan bahawa kami pasti akan menunaikan janji,” kata Loke kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual eksklusif.
Pada 2018, selepas dilantik sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata manifesto sebelum pilihan raya bukanlah kitab suci yang perlu diikuti, sambil menambah ia hanya garis panduan.
Loke bersetuju PH tidak dapat memenuhi semua ikrar pilihan raya kerana tempoh mereka di Putrajaya dipendekkan kepada 22 bulan selepas beberapa ahli gabungan itu menarik sokongan mereka daripada kerajaan ketika itu berikutan “Langkah Sheraton”.
Ahli Parlimen Seremban itu bagaimanapun berkata PH masih mempunyai tiga kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, di bawah kawalan mereka dan menambah bahawa mereka akan terus menunaikan janji di negeri-negeri itu.
“Kita masih mempunyai tiga kerajaan negeri di bawah PH dan negeri ini harus menjadi contoh kita, apa sahaja yang kita janjikan dalam pilihan raya akan dicapai dan boleh dicapai,” kata bekas menteri pengangkutan itu.
Lim Guan Eng, menteri kewangan ketika era PH berkata, 60% janji manifesto yang dibuat sebelum PRU14 ditunaikan.
Lim berkata antara ikrar PH yang ditunaikan ialah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menurunkan harga petrol daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter, memperkenalkan pas transit aliran ringan (LRT) RM100 setiap bulan dan menjadikan kerajaan bersih dengan meminta ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka.
Lim kemudian berkata PH menyasarkan untuk memenuhi semua ikrar pilihan raya menjelang 2023. – 5 April, 2022.
Komen