Yang masih percaya Bersatu boleh nilai sendiri tindakan Muhyiddin, kata Zahid


Pertemuan Muhyiddin dengan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad telah mendedahkan niat sebenar presiden itu untuk kembali berkuasa, kata Ahmad Zahid Hamidi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

TINDAKAN Presiden Bersatu Muhyiddn Yassin yang dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang perlu dinilai oleh mana-mana pihak dalam Umno yang masih percaya dan mahu bekerjasama dengan parti itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno berkata tindak-tanduk Muhyiddin itu memperlihatkan beliau terdesak untuk menjadi perdana menteri semula sehingga sanggup menjual prinsip.

“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?

“Umno ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” katanya dalam satu tulisan di Facebook.

Pertemuan Muhyiddin dengan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad telah mendedahkan niat sebenarnya untuk kembali berkuasa, tambah Zahid. 

 “Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi.”

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata beliau bertemu Dr Mahathir selepas beberapa pemimpin pembangkang mencadangkan beberapa kerjasama politik perlu dijalin bagi mengelak pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Pertemuan itu katanya adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pimpinan utama parti politik, namun tiada keputusan muktamad yang dicapai setakat ini.

Dalam peringatannya kepada ahli-ahli Umno hari ini, Zahid seterusnya berkata Muhyiddin juga dilapor mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut mengenainya.

“Begitu juga (Presiden Warisan) Shafie Apdal mengakui beliau dihubungi oleh pengerusi PN yang dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum pada masa akan datang. 

“Namun Shafie Apdal dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam Pakatan Harapan,” katanya. – 4 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen