Anwar sahut cabaran Najib berdebat


Anwar Ibrahim sahut cabaran Najib Razak untuk berdebat dengan Rafizi Ramli berhubung isu masalah kewangan Sapura Energy Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

ANWAR Ibrahim menyahut cabaran Najib Razak untuk berdebat selepas beliau diheret  ke dalam perang mulut antara bekas perdana menteri dan Rafizi Ramli mengenai isu masalah kewangan Sapura Energy Berhad.

Semalam, Najib bersetuju untuk berdebat dengan Rafizi selepas mereka saling berbalas kenyataan mengenai isu Sapura tetapi mahu debat itu disertai Anwar.

Menurut Anwar, beliau tidak hairan dengan cabaran Najib itu, yang katanya dibuat setelah gagal menjawab sanggahan Rafizi yang menolak cadangan bekas perdana supaya kerajaan menyelamatkan Sapura.

“Memetik pantun pendekar Melayu: Tuan Puteri pergi ke Lukut, bawa pulang kacang panjang; sedikit pun hamba tak takut, kalau berani turun gelanggang.

“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak,” kata Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Anwar, sikap beliau mengenai debat jelas dan tidak berubah malah mengingatkan cabaran sama terhadap Najib 10 tahun lalu yang bagaimanapun tidak bersahut.

Pada 2011, Anwar mencabar Najib untuk berdebat mengenai pelan gabungan Pakatan Rakyat pada masa itu menuju Pilihan Raya Umum ke-13. Najib pada masa itu berpandangan debat hanya membuang masa.

Dalam satu wawancara minggu lalu, Rafizi berkata beliau sedia berdebat secara terbuka dengan Najib sekiranya ada mana-mana pihak yang menganjurkan debat itu.

Najib menyahut cabaran Rafizi tetapi masuk Anwar ikut sama.

“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil boss kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya. Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia,” tulis Najib di Facebook.

Rafizi bagaimanapun menganggap ini hanya helah Najib untuk kemudiannya nanti mengelak berdebat.

“@NajibRazak sebenarnya takut nak berdebat. Jadi dia cari alasan bagi syarat mintak heret @anwaribrahim sekali, sebab dia ingat Presiden PKR pun takut berdebat dengan dia,” kata Rafizi di Twitter, malam tadi.

Minggu lalu, Rafizi membidas cadangan Najib supaya kerajaan membantu untuk menyelamatkan Sapura yang bakal bankrap kerana kesan besar yang lebih merugikan jika ia tidak dibantu.

Katanya, rakyat sebaliknya yang akan rugi jika kerajaan menyelamatkan Sapura kerana dana itu sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat lain bagi rakyat, termasuk latihan kemahiran dan pendidikan.

Rafizi berpandangan tidak adil kerajaan terus membantu Sapura selepas syarikat itu pernah dibantu berbilion ringgi sejak lebih sedekad yang lalu tetapi masih mengalami masalah kewangan.

Sapura Energy, anak syarikat Kumpulan Sapura, rugi sejak 2019 dengan kerugian akhirnya dilaporkan berjumlah RM8,9 bilion setakat 31 Januari, 2022. Tiga anak syarikatnya juga sedang dalam proses penggulungan awal Mac lepas. – 4 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen