MySJ cadang khidmat lain dalam MySejahtera, lapor media


Portal kesihatan CodeBlue memetik dokumen mahkamah melaporkan MySJ Sdn Bhd merancang untuk memasukkan ciri-ciri perkhidmatan rawatan kesihatan, insurans dan pembayaran digital ke dalam aplikasi MySejahtera.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

MySJ Sdn Bhd, sebagai pemilik sah dan bermanfaat MySejahtera, merancang untuk memasukkan ciri-ciri perkhidmatan rawatan kesihatan, insurans, dan pembayaran digital ke dalam aplikasi pengurusan Covid-19 itu, lapor portal berita kesihatan CodeBlue yang memetik dokumen mahkamah.

Dokumen mahkamah pertikaian antara pemegang sahamnya menunjukkan MySJ dirujuk sebagai pemilik aplikasi MySejahtera berserta platform dan hak harta inteleknya.

Dokumen itu juga menyertakan perjanjian jual beli saham melibatkan pemegang sahamnya. Perjanjian itu menunjukkan MySJ sedang dalam proses rundingan untuk mengambil alih sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan rawatan kesihatan dan sebuah syarikat platform perkhidmatan rawatan kesihatan digital.

Dalam satu mesyuarat jawatankuasa penyelaras, mereka juga berbincang mengenai satu taklimat tentang pelan perniagaan insurans digital.

Mereka juga merancang untuk melibatkan Maybank sebagai saluran pembayaran digital, kata laporan CodeBlue.

Maklumat ini terkandung dalam afidavit Hasrat Budi Sdn Bhd dalam samannya terhadap Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd), yang membangun dan memiliki perisian yang dipakai pada aplikasi MySejahtera dan pemegang sahamnya yang lain.

Ia menamakan Revolusi Asia Sdn Bhd, pengasas Entomo dan CEO kumpulan Raveenderen Ramamoothie, pengarah MySJ Anuar Rozhan dan Shahril Shamsuddin (MySJ director) serta MySJ.

Tindakan Hasrat Budi, yang dimiliki sepenuhnya oleh pemaju hartanah Eco World Development Group Berhad, bertujuan mempertahankan haknya mengikut kontrak pemegang saham susulan pertikaian berhubung pengurusan MySJ.

MySejahtera dilaporkan mempunyai 38 juta pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

Pemilikan aplikasi MySejahtera jadi pertikaian selepas kerajaan menegaskan ia memiliki kawalan penuh ke atas aplikasi pengurusan Covid-19 itu.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata semua maklumat dalam aplikasi MySejahtera adalah milik kerajaan.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara dan KPISoft pada masa itu menandatangani satu perjanjian ketakdedahan pada 1 April 2020 yang mempersetujui syarat-syarat pembangunan aplikasi itu.

Kerajaan juga tidak membayar satu sen pun kepada mana-mana pihak untuk pengurusan MySejahtera, tambahnya, menafikan laporan aplikasi itu sudah dijual kepada syarikat swasta.

Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan bercadang meneruskan penggunaan MySejahtera di luar pandemik Covid-19, antaranya untuk pengurusan rekod kesihatan.

CodeBlue bagaimanapun melaporkan, menurut perjanjian jual beli saham pada 27 Ogos 2021, Entomo Malaysia akan menjual harta intelek dan lesen perisian aplikasi berkenaan kepada MySJ.

Selain tindakan mahkamah ini, terdapat satu lagi saman oleh P2 Asset Management Sdn Bhd terhadap Entomo Malaysia, Revolusi Asia, dan MySJ atas isu pecah kontrak jual beli saham antara P2 Asset Management dan Revolusi Asia. Revolusi Asia menamatkan perjanjian itu pada 7 September 2021.

MySejahtera dilaporkan mempunyai 38 juta pengguna. – 4 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen