PUTRAJAYA dan Jakarta dicadang supaya membenarkan amah Indonesia bekerja separuh masa bagi mengurangkan kos yang ditanggung majikan, kata Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama).
Presidennya Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata sebagai permulaan Malaysia dan Indonesia boleh menggunakan model perniagaan e-panggilan Grab, menambah kos maksimum pengambilan amah pada kadar RM15,000 adalah terlalu tinggi.
Beliau berkata demikian kepada The Malaysian Insight, mengulas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta pada Sabtu lalu.
“Gaji minimum bagi seorang amah Indonesia ialah RM1,500. Ini termasuk caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau ataupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Malah, amah diberi tempat tinggal, kemudahan utiliti elektrik serta makan dan minum.
“Kadar maksimum RM15,000 bagi mendapatkan seorang amah adalah terlalu tinggi. Saya selalu persoalkan, mengapa perlu sehingga RM15,000? Adakah ia akan menjamin kualiti perkhidmatan amah, bagaimana pula kalau amah melarikan diri atau mencuri harta majikan? Jadi, mengapa kosnya sebanyak itu, kita perlu tahu butirannya,” kata Engku Ahmad Fauzi.
Dan atas sebab inilah perkhidmatan amah Indonesia secara sambilan boleh dipertimbangkan, tambahnya.
“Kerajaan dan agensi pembantu rumah boleh memperkenalkan inisiatif lain seperti membenarkan amah bekerja secara sambilan. Sama juga seperti e-panggilan Grab, iaitu perkhidmatan pembantu rumah digunakan apabila perlu, tetapi berserta keselamatan dan perlindungan kepada majikan dan amah.
“Dengan adanya sistem ini, majikan tidak perlu membayar kos sehingga RM15,000 untuk mendapatkan seorang amah Indonesia. Mereka juga tidak perlu menbayar RM1,500 sebulan, sebaliknya khidmat amah dibayar mengikut jam dan amah tidak perlu tinggal bersama majikan.
“Peraturan dan pemantauan yang tepat akan menjamin kesejahteraan serta keselamatan amah,” jelas Engku Ahmad Fauzi.
Pada Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan rakan sejawat sejawat Indonesia, Menteri Ketenagakerjaan Ida Fauziyah telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung penggajian dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.
Butiran MoU itu termasuk kos membawa masuk PDI ditetapkan di bawah RM15,000 dan akan dikaji setiap tiga bulan, serta pelaksanan sistem e-Wages bagi memantau pembayaran gaji iaitu setiap majikan perlu membayar gaji sebelum 7 hari bulan setiap bulan.
Seorang amah Indoensia ditetapkan untuk berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang, caruman melalui Perkeso, serta terbaharu, pelaksanaan kursus induksi untuk mendidik pekerja agar memahami hak mereka dan mengelakkan penganiayaan.
Pekerja juga dibekalkan satu aplikasi khas iaitu Working for Workers, bagi membolehkan mereka mengaju aduan seperti tempat tinggal, makanan dan hak mereka tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja. – 4 April, 2022.
Komen