SEORANG penyampai stesen radio Tawau, Sabah tampil memohon maaf berikutan kesilapannya menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal hari ini.
Mohd Safwan Junit menerusi akaun Facebooknya Mohd Safwan menjelaskan berlaku kesilapan teknikal dengan penyiaran dua kali azan Maghrib iaitu pada jam 6.16 petang dan 6.20 petang.
“Saya, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu melakukan kesilapan teknikal yang mana azan Maghrib disiarkan dua kali, iaitu sekitar jam 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.
“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 dikumandangkan lebih awal daripada waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja berbuka puasa awal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau secara peribadi dan rendah hati memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan situasi tidak diduga itu.
Sementara itu Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Mohd Arifin Mohd Arif ketika dihubungi berkata, perkara itu perlu dirujuk Mufti Sabah Bungsu Jaafar untuk maklumat dan tindakan lanjut, namun Bungsu sehingga berita ini ditulis masih tidak memberikan sebarang jawapan.
Hari ini adalah hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa Ramadan. – Bernama, 3 April, 2022.
Komen