Prasarana adakan latih amal pembukaan MRT laluan Putrajaya


MRT memberikan perkhidmatan pengangkutan tren selesa dan pantas kepada pengguna dan rakyat negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

PRASARANA sudah mengadakan latih amal pelan tindakan kecemasan (ERP) bersama agensi tindakan kecemasan sebagai persediaan pembukaan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya tidak lama lagi.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan yang diadakan di stesen Sri Damansara Sentral pada 22 Mac lalu membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Selayang dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Latih amal dengan kod nama ‘X-PERT’ itu menyaksikan simulasi insiden kereta melanggar tiang lampu yang kemudiannya terjatuh ke laluan trek antara stesen Sri Damansara Sentral dan Sri Damansara Barat sebelum dilanggar tren empat gerabak yang menghala ke Kampung Batu.

Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya Amiruddin Ma’aris berkata, latihan itu penting untuk menguji keberkesanan latihan kecemasan serta tahap responsif agensi kerajaan berkaitan dalam situasi kecemasan sebenar.

“Rapid Rail sebagai pengendali dan MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset akan terus membuat penambahbaikan untuk memastikan tahap perkhidmatan boleh dipercayai dan setanding dengan perkhidmatan metro bertaraf dunia,” katanya. – Bernama, 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen