Kertas putih penjagaan kesihatan perlu penglibatan semua pihak, kata MMA


Ravin Palanisamy

Buat masa ini belum ada perbincangan antara kementerian dan persatuan berhubung penyediaan kertas putih mengenai pembaharuan penjagaan kesihatan, kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mesti melibatkan semua pihak berkepentingan dalam penyediaan kertas putih mengenai pembaharuan penjagaan kesihatan yang dijangka dibentangkan di parlimen tidak lama lagi, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata belum ada perbincangan antara kementerian dan persatuan berhubung perkara itu.

“MMA gembira mendengar menteri kesihatan sedang menyediakan kertas putih mengenai pembaharuan penjagaan kesihatan yang akan dibentangkan di parlimen tidak lama lagi.

“Kami sangat menantikan penglibatan pihak berkepentingan mengenai perkara ini kerana buat masa ini belum pernah dilakukan,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian itu sedang menyediakan kertas putih bagi mereformasi sistem penjagaan kesihatan negara yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Beliau berkata kertas putih itu turut memuatkan penambahbaikan dari segi perkhidmatan kepada pelanggan khususnya rakyat negara ini.

Dr Koh mengalu-alukan peningkatan dari segi perkhidmatan, sambil berkata penjagaan kesihatan adalah untuk rakyat dan perkhidmatan kesihatan perlu berorientasikan rakyat.

Khairy juga berkata kertas putih itu termasuk menambah baik sistem senarai nama serta kebajikan kakitangan kementerian.

Mengenai perkara ini, Dr Koh berkata pekerja penjagaan kesihatan wajar mendapat pengiktirafan kerana melakukan usaha yang luar biasa dalam dua setengah tahun lalu.

Mereka, katanya bukan sahaja terlibat dalam memerangi pandemik Covid-19 tetapi juga melaksanakan tugas melebihi tempoh perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, pengiktirafan juga perlu diberikan kepada pekerja penjagaan kesihatan swasta.

“Kakitangan kementerian sememangnya layak menerima pujian. Mereka benar-benar berkhidmat untuk negara kita ini dan layak menerima anugerah perkhidmatan cemerlang kementerian.

“Kami berharap selain daripada kakitangan penjagaan kesihatan kerajaan, menteri juga akan mengiktiraf sumbangan yang dibuat sektor swasta, di mana tanpa mereka adalah mustahil untuk melalui fasa awal wabak itu.

“Ramai pekerja di kalangan sektor swasta mengambil tanggungjawab untuk menawarkan perkhidmatan bagi membantu dalam pengurusan wabak itu. Terdapat perkongsian awam-swasta yang baik dijalin untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dan perkongsian seperti itu harus menjadi sebahagian daripada kertas putih,” katanya.

Bulan lalu, Khairy memberitahu Dewan Rakyat kertas putih mengenai sistem penjagaan kesihatan negara akan dibentangkan di Parlimen November ini perlu mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan ia menjadi bukti masa depan sekiranya berlaku perubahan dalam kerajaan. – 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen