Umno, Bersatu sudah cerai, tidak akan kerjasama semula lagi, kata Ahmad Maslan


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata dua parti Melayu itu tidak mungkin akan bekerjasama lagi atas alasan apa pun.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

UMNO dan Bersatu sudah “bercerai”, kata Ahmad Maslan, dan dua parti Melayu itu tidak mungkin akan bekerjasama lagi atas alasan apa pun, lapor Utusan Malaysia.

Katanya, Umno sudah memutuskan tidak akan terlibat dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, yang dijangka banyak pihak akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

“Kita sudah tiada kerjasama dengan Bersatu dan semua tahu perkara itu malah telah disebut dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Tiada apa-apa pertukaran dalam hal itu.

“Kita sudah ‘bercerai’ sebab ada banyak punca termasuk penubuhan Bersatu itu juga yang menewaskan kami dalam PRU14. Pada masa itu, macam-macam mereka kata pasal kami,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Umno dan Barisan Nasional (BN) kini membentuk kerajaan di Putrajaya dan beberapa negeri dengan dukungan Bersatu, yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 bulan lepas, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu muktamad.

Umno juga katanya menolak untuk membentuk pakatan politik dengan PN.

Ahmad Zahid pada masa itu juga menjelaskan Umno sekarang bersama Bersatu dan PN membentuk kerajaan persekutuan dan negeri “kerana rakyat.” – 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen