Hampir separuh daripada 663 kemasukan hospital Covid-19 dari Kategori 2


324 pesakit berada dalam Kategori 2, diikuti Kategori 4 (159), Kategori 3 (108), Kategori 1 (54) dan Kategori 5 (18).– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

MALAYSIA merekodkan 663 kemasukan ke hospital akibat Covid-19 semalam, dengan hampir separuh daripadanya dalam Kategori 2, menunjukkan simptom ringan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata 324 pesakit berada dalam Kategori 2, diikuti Kategori 4 (159), Kategori 3 (108), Kategori 1 (54) dan Kategori 5 (18).

Secara keseluruhan, daripada 663 pesakit yang dimasukkan ke hospital, 378 (57%) berada dalam kategori kurang teruk iaitu 1 dan 2, manakala baki 285 (43%) berada dalam kategori yang lebih serius iaitu 3, 4 dan 5.

Selangor, yang melaporkan sebahagian besar daripada 14,692 jangkitan baharu semalam, merupakan satu-satunya negeri yang melaporkan kemasukan dalam tiga digit iaitu 124.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kemasukan ke hospital baharu ialah Johor (97), Perak (77), Sarawak (63), Pulau Pinang (50), Kuala Lumpur (45), Kedah (35), Pahang (33), Kelantan (33), Negeri Sembilan (26), Terengganu (24), Putrajaya (18), Melaka (17), Sabah (17) dan Perlis (4).

Hanya Labuan tidak melaporkan sebarang kemasukan baharu berkait dengan Covid-19.

Noor Hisham berkata 766 pesakit dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Daripada 14,692 jangkitan baharu yang direkodkan semalam, Noor Hisham berkata 14,613 (99.46%) daripada kes itu adalah dalam kategori tidak bergejala dan bergejala ringan iaitu 1 dan 2.

Hanya 79 (0.54) daripada kes berada dalam kategori serius 3, 4 dan 5.

Noor Hisham berkata daripada 79 kes serius itu, 19 sama ada belum divaksin atau lengkap divaksinasi.

Beliau berkata 42 daripada mereka telah menerima dua dos vaksin tetapi tidak mengambil suntikan dos penggalak mereka, manakala baki 18 lagi menerima suntikan dos penggalak mereka.

Katanya 46 daripada kes itu melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 42 daripadanya mempunyai komorbiditi.

Mengenai penggunaan unit rawatan rapi (ICU) berkaitan Covid-19, hanya Kuala Lumpur dan Selangor berada pada atau melebihi paras 50%.

Kuala Lumpur mendahului senarai dengan penggunaan 67%, manakala Selangor pada 50%.

Sementara itu, Noor Hisham berkata hampir 34% daripada alat bantuan pernafasan digunakan di seluruh negara.

Selangor mempunyai bilangan alat bantuan pernafasan tertinggi yang digunakan dengan 121, diikuti Sabah (96) dan Kelantan (94).

Mengenai kadar penggunaan katil bagi kes Covid-19, Noor Hisham berkata daripada 12,145 katil yang tersedia untuk kes tidak kritikal, 3,922 (32%) telah diduduki.

Daripada 880 katil di ICU, 261 (30%) telah digunakan manakala 555 (6%) daripada 9,676 katil di pusat kuarantin berisiko rendah sedang digunakan. – 3 April, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen