PENDUDUK Klang mahu mengheret kerajaan Malaysia kerana cuai tugas semasa bencana banjir Disember lepas, kata ahli parlimennya Charles Santiago.
Sebagai kerajaan, Putrajaya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan hak serta kepentingan rakyat namun semasa bencana itu ia gagal memberi amaran awal atau usaha bantuan yang mencukupi, katanya.
“Malah pegawai kerajaan tidak ada semasa tiga empat hari pertama dan rakyat menguruskan sendiri bantuan makanan dan kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Santiago, keputusan saman kerajaan itu adalah antara cadangan yang disuarakan penduduk dalam satu seminar berkenaan kesan perubahan iklim ke atas kawasan pesisir seperti Klang, semalam, katanya.
Banjir Disember lepas, yang membunuh 59 orang, disifatkan antara yang terburuk pernah melanda Malaysia, dan mengingatkan banyak orang kepada bencana sama 50 tahun lalu.
Selain Selangor, beberapa kawasan di negeri pantai barat Semenanjung juga terjejas teruk antaranya Johor, Negeri Sembilan, serta Pahang.
Seminar itu juga mendengar cadangan sistem perparitan dan saliran baharu untuk Klang, tambahnya.
Santiago memberitahu seminar semalam mengenai usahanya mendapatkan RM6 juta daripada Jabatan Kerja Raya untuk membersihkan longkang di kawasan Klang.
Maklum balas daripada menteri kerja raya, katanya, bagaimanapun mengecewakan.
“Saya minta Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof Disember lepas dan jawab dia: kenapa tak cuba gotong-royong?” katanya, seperti dilapor Free Malaysia Today.
Tutup Nadma
Menurut Santiago, penduduk Klang juga mahu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ditutup dan diganti dengan Pasukan Bantuan Bencana, dengan kuasa persekutuan untuk menguruskan banjir.
Langkah membubarkan Nadma akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menyelaraskan undang-undang, dasar dan program mengurangkan risiko banjir, katanya.
“Pada masa ini usaha bantuan banjir diselenggara mengikut Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara yang melibatkan lapan undang-undang dan peraturan untuk menangani bencana.
“Ini perlu diubah,” katanya.
Santiago mengingatkan undang-undang yang selaras untuk menguruskan bencana terbukti berjaya di banyak negara.
“Kerajaan perlu timbang untuk tubuhkan Pasukan Bantuan Bencana, yang terdiri daripada anggota polis dan tentera yang boleh dikerah apabila berlaku bencana.
“Kos penubuhannya tidak besar kerana ia datang daripada pasukan keselamatan sedia ada,” tambah Santiago.
Cadangan penduduk Klang ini tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan, katanya, kerana mereka sudah lima kali mengalami banjir dalam masa enam bulan lepas.
Tegas beliau, isu ini bukan main-main dan perlu disegerakan sebelum satu lagi bencana banjir tiba. – 3 April, 2022.
Komen