Menteri cadang gotong-royong, tak perlu RM6 juta bersih longkang, kata ahli Parlimen Klang


Ahli Parlimen Klang Charles Santiago meminta peruntukan RM6 juta bagi membersihkan sistem perparitan di kawasannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2022.

AHLI Parlimen Klang Charles Santiago meminta peruntukan RM6 juta daripada pihak berkuasa untuk membersihkan sistem perparitan kawasannya bagi mengelak kejadian banjir pada masa akan datang, namun maklum balas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengecewakan.

“Saya bertanya kepada Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof pada Disember lalu dan jawapannya ‘mengapa anda tidak cuba gotong-royong?,” katanya selepas seminar mengenai perubahan iklim hari ini.

Sikap acuh tak acuh ini katanya menunjukkan negara kurang memahami lebih mendalam langkah-langkah tebatan banjir.

“Saya juga pernah membangkitkan isu itu pada Januari semasa sidang khas Parlimen selepas banjir besar Disember dan sekali lagi baru-baru ini.

“Memandangkan mereka tidak mengambil serius permintaan saya, mereka boleh berdepan tindakan saman daripada saya bagi memastikan mereka membersihkan longkang tersumbat di Klang,” katanya.

Seminar “Kesan Perubahan Iklim Terhadap Kawasan Pesisir Pantai seperti Klang” dianjurkan bagi mengkaji semula banjir yang melanda pada Disember 2021 dan mencari jalan bagi mengurangkan kejadian pada masa akan datang daripada berlaku.

Pada Disember Malaysia mengalami salah satu banjir terburuk sejak 1971 yang menyebabkan 59 orang terkorban.

Santiago berkata Putrajaya perlu sedar dasar baharu diperlukan bagi menangani perubahan asas yang berlaku.

“Pertamanya perlu ada rangka kerja perundangan mengenai pengurusan banjir di Malaysia yang dimodelkan di sekitar sistem UK.

“Pada masa ini kami beroperasi di bawah Arahan Keselamatan Negara 20 yang hanya digunakan semasa kecemasan. Dengan perundangan ia tercetus serta-merta semasa krisis,” katanya.

Santiago mencadangkan Putrajaya menubuhkan unit bantuan pertahanan untuk membantu komuniti terjejas.

“Pada masa sebegitu kita boleh menggunakan kakitangan dari angkatan tentera. Mereka lebih dilengkapi dengan sumber dan latihan.

“Mereka hanya perlu diberi sedikit latihan tambahan tentang cara menangani krisis kemanusiaan,” katanya.

Mengenai kekurangan penglibatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) semasa bencana alam baru-baru ini Santiago berkata organisasi itu tidak berfungsi dengan baik dan harus dibubarkan.

“Di manakakah mereka semasa banjir pada Disember? Mereka tidak turun padang membantu penduduk di Klang dan Selangor. Malah tidak jelas apa arahan atau tujuan mereka,” katanya.

Santiago menyatakan meminta orang ramai berpindah ke pusat pemindahan banjir setiap kali bencana berlaku bukanlah penyelesaian praktikal jangka panjang.

“Ke mana sahaja anda pergi mungkin ada bencana alam sekitar. Apa yang kita mesti buat ialah jadikan ini isu pilihan raya. Undilah kerajaan yang menangani perubahan iklim dan memberi tekanan kepada mereka. Jika tidak, jangan undi mereka,” katanya. – 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen