SERAMAI 342 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan untuk memantau tahap kebersihan dan keselamatan makanan 4,938 gerai di 59 lokasi bazar Ramadan tahun ini.
Pengarahnya Dr Kasemani Embong berkata anggota penguat kuasa itu akan dibahagikan kepada 130 pasukan operasi bagi memastikan semua 9,666 pengendali makanan di bazar Ramadan itu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, penguat kuasa itu juga akan mengambil sampel makanan secara rawak di bazar Ramadan untuk dianalisis bagi menjamin makanan yang dijual kepada pelanggan bebas daripada sebarang pencemaran yang boleh menyebabkan mudarat dan membahayakan kesihatan.
“Jumlah sampel ini tidak akan dihadkan, pegawai penguat kuasa akan mengambilnya mengikut kesesuaian terutama makanan berisiko seperti bersantan dan penggunaan bahan mentah seperti kerabu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian kempen nafas baru bermula Ramadan dan pelancaran operasi cakna undang-undang kesihatan awam peringkat negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak di Kuala Nerus hari ini. – Bernama, 2 April, 2022.
Komen